Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

49) BUKU KARYA RAKYAT UNTUK RAKYAT TERBITAN PPAS

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Aktivisme rakyat seperti ini sedang giat dijalankan di Jepun dan Korea. Ia adalah berkenaan rakyat biasa. Diterbitkan oleh perpustakaan yang disayangi rakyat. Apakah perancangan kerajaan untuk menghidupkan budaya ini?

    Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengambil maklum berkenaan aktiviti penghasilan karya rakyat yang sedang giat dijalankan seperti di Jepun dan Korea. Penghasilan karya rakyat di Selangor tidaklah serancak yang dilakukan oleh dua negara tersebut, namun PPAS telah memulakan inisiatif dalam membangun dan mengembangkan aktiviti penghasilan karya rakyat.

    Antara usaha yang telah dilakukan adalah dengan melaksanakan program-program seperti berikut:

    1) Penganjuran seminar dan rakaman wawancara lisan – perkongsian oleh tokoh tempatan termasuk rakyat setempat mengenai pengalaman peribadi dan peristiwa bersejarah;
    2) Video resensi – mencetus minat membaca dan berkongsi dengan khalayak umum melalui ulasan buku berbentuk video;
    3) Buku audio karya tempatan – menerbitkan karya tempatan terpilih ke dalam bentuk buku audio yang boleh dicapai melalui Internet;
    4) Perpustakaan tokoh – pengkatalogan ringkas perpustakaan peribadi pencinta buku (ahli akademik tersohor dan orang awam) yang memiliki koleksi khusus dalam sesuatu bidang kepakaran;
    5) Penerbitan bersama karya tempatan – beberapa karya terpilih diterbitkan secara bersama antara pihak penulis dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

    Antara rancangan yang telah diatur:

    1) Meneruskan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan para sasterawan dan pengkarya tempatan melalui pemukiman sasterawan dalam menuju ke arah negeri Selangor mesra sasterawan dan karyawan.
    2) Rancangan penganjuran masterclass – sasterawan sebagai mentor dan pembimbing untuk membangunkan lebih ramai pengkarya tempatan khususnya generasi muda.
    3) Membantu dalam usaha penerbitan buku karya rakyat.

    Oleh itu Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor akan meneruskan agenda pengembangan dan pembangunan karya tempatan di Selangor dengan menjejaki lebih ramai local genius merangkumi aspek pendidikan, sejarah, kesenian dan kebudayaan tempatan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.