Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

24) HASIL NEGERI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah hasil negeri keseluruhan berakhir Disember 2020 & Disember 2021

    Hasil Negeri berakhir 31 Disember 2020 adalah berjumlah RM2,257,653,547.50 dan 31 Disember 2021 adalah berjumlah RM2,284,095,964.47.

  2. Apakah faktor-faktor yang dikenalpasti akan menjejaskan prestasi kutipan hasil negeri?

    Kerajaan Negeri bergantung sepenuhnya kepada sumber hasil yang diserahhakkan kepada Negeri seperti yang termaktub dalam Bahagian 3, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan. Pada masa ini, hasil tanah seperti premium, cukai tanah, permit tanah dan galian dan bayaran perkhidmatan berkaitan tanah merupakan penyumbang utama sebanyak 80% daripada hasil keseluruhan.

    Oleh yang demikian, faktor-faktor yang dikenalpasti akan menjejaskan prestasi kutipan hasil negeri adalah berkait rapat dengan sumber hasil tanah seperti:

    i) Tanah bagi tujuan pembangunan semakin terhad;
    ii) Peningkatan tunggakan cukai tanah dan cukai petak;
    iii) Hasil tanah galian iaitu bahan batuan dan mineral adalah terhad dan bukan sumber yang boleh diperbaharui; dan
    iv) Kelembapan ekonomi yang menyebabkan kurangnya pembangunan projek berskala besar.

  3. Apakah perkembangan terkini usaha penerokaan sektor-sektor baru bagi meningkatkan kutipan hasil negeri ?

    Jawatankuasa Mengkaji Hasil Negeri telah diwujudkan bagi mengkaji hasil-hasil baharu yang boleh diperolehi bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil tanah. Antara hasil baharu yang dikenal pasti termasuklah:

    i) melaksanakan Permit Khas sebagai kebenaran penggunaan sementara tanah pertanian yang digunakan selain tujuan pertanian (Perniagaan / Industri Ringan) di Negeri Selangor selaras dengan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 3 Tahun 2020;

    ii) mengenakan caj fi bagi pengeluaran kayu getah dan palma (kelapa/kelapa sawit) di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) dan selaras dengan keputusan Majlis Perhutanan Negara Ke-71;

    iii) pemulihan dan penguatkuasaan melalui pengenaan permit penggunaan di kawasan pencerobohan dan penerokaan secara haram di dalam sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Selatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri;

    iv) mengenakan permit Access Benefit Sharing (ABS) iaitu permit bagi sumber biodiversity yang dikomersialkan bagi tujuan penyelidikan, perubatan dan kosmetik selaras dengan Akta Akses Kepada Sumber Biologi Dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795). Pelaksanaan Access Benefit Sharing bertujuan untuk memastikan sumber hasil biodiversity yang dikomersialkan dapat dipantau dan dikongsikan. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri akan memproses permohonan permit dan mengenakan bayaran bagi setiap permohonan yang diluluskan; dan

    v) merangka pelaksanaan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (akuakultur) oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor. Apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj-caj tertentu di mana pada ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan sebarang caj. Selain daripada itu juga, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik.

Lampiran

Tiada Lampiran.