Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
18) PRESTASI EKONOMI NEGERI
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan pretasi ekonomi Selangor bagi tahun 2021 berbanding 2020?
Berdasarkan Laporan Ekonomi Negeri Selangor, ekonomi Negeri Selangor pada tahun 2020 merosot kepada – 5.3 peratus berbanding 6.8 peratus pada tahun 2019 berikutan impak negatif yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, sektor perkhidmatan dan pembuatan telah menyumbang sebanyak RM295.3 juta kepada KDNK negeri pada tahun 2020 sekaligus menjadi pemacu utama ekonomi Selangor.
Negeri Selangor juga tergolong dalam kelompok negeri dengan sumbangan yang meningkat saban tahun kepada ekonomi Malaysia. Sumbangan Selangor kepada ekonomi nasional ialah sebanyak 23.7 peratus pada tahun 2018 menokok kepada 24.2 peratus pada tahun 2019 dan terus mengukuh kepada 24.3 peratus pada tahun 2020. Bagi tahun 2021, prestasi ekonomi Selangor masih belum diumumkan, namun Kerajaan Negeri optimis Negeri Selangor akan mencatatkan angka yang memberangsangkan dan kekal menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional.
-
Apakah strategi yang diambil bagi memacu perkembangan ekonomi negeri 2022?
Bagi memacu perkembangan ekonomi negeri pada 2022, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan dan strategi untuk memberi tumpuan kepada strategi berikut:
1. Pembangunan Ekonomi Melalui Pelaburan Berimpak Tinggi
Antara fokus ditumpukan terhadap pelaburan domestik dan luar negara dalam usaha untuk menjadikan Negeri Selangor lebih kompetitif dan berdaya saing di dalam lima (5) industri utama yang telah dikelaskan mengikut kluster iaitu:
i. Kluster Elektrik & Elektronik (Electricals & Electronic Cluster);
ii. Kluster Makanan (Food Cluster);
iii. Kluster Sains Hayat (Life Sciences Cluster);
iv. Kluster Pemesinan dan Kejuruteraan (Machinery and Engineering Cluster); dan
v. Kluster Peralatan Pengangkutan (Transport Equipment Cluster)Beberapa bidang industri tumpuan berdasarkan kluster-kluster tersebut dan sektor yang berpotensi untuk berkembang pesat di Negeri Selangor telah dikenalpasti iaitu:
i. Industri Aeroangkasa
Bagi mengukuhkan pembangunan dan memberi nafas baharu kepada industri aeroangkasa di Selangor, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Selangor Aviation and Technology Innovations Sdn. Bhd. (SELATI), Pusat Kecemerlangan SELATI_UNISEL, SELATI-UNISEL School of Aviation dan Selangor Skills Framework & Career Pathway. Melalui usaha-usaha ini akan mewujudkan peluang pelaburan baharu bagi syarikat-syarikat pembekal aeroangkasa, kepintaran buatan dan pembangunan dron bertempat di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, tawaran Kursus Latihan Jangka Pendek dan juga Program Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Penerbangan serta pembangunan modal insan berkemahiran dan pasaran buruh untuk menyokong industri aeroangkasa.
ii. Selangor Aviation Show 2022
Selangor Aviation Show 2021 merupakan penganjuran pertama oleh Kerajaan Negeri selepas misi pelaburan ke Paris Airshow dibuat pada tahun 2019 yang lalu. Kerajaan Negeri berharap acara tahunan ini dapat menghimpunkan pemain aeroangkasa dan penerbangan yang terbaik di dunia bagi mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan berpotensi di peringkat domestik dan antarabangsa.
Sekurang-kurangnya 5,000 pelawat dan 30 peserta pameran dari syarikat tempatan dan antarabangsa, termasuk pameran pesawat terbang statik, dan forum perbincangan disasarkan akan hadir ke acara ini. Bagi menjayakan pameran ini pada tahun 2022, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk penganjuran Selangor Aviation Show 2 2022.
iii. Industri Rel Negeri Selangor
Kerajaan Negeri melihat terdapat potensi yang tinggi di dalam industri rel negeri Selangor yang dapat dikembangkan seperti mana industri aeroangkasa. Sehubungan dengan itu Kerajaan
Negeri telah menubuhkan Majlis Industri Rel Negeri Selangor untuk melakar dan mengukuhkan industri rel di Negeri Selangor.Majlis yang bakal mengumpulkan kekuatan daripada 50 buah syarikat dengan tenaga kerja hampir 8,000 orang ini akan menjadikan industri rel sebagai salah satu tonggak yang memberikan impak besar kepada ekonomi negeri dan mencipta peluang-peluang pekerjaan di Selangor selain daripada merancang dan merangka program-program pembangunan dan promosi industri rel di negeri Selangor.
vi. Industri Halal
Bagi meneruskan kelangsungan dan kecemerlangan industri halal di Negeri Selangor pada tahun 2022, Kerajaan Negeri akan terus membangunkan Taman Perindustrian Halal pertama di Malaysia iaitu Pulau Indah Halal Hub seluas 700 ekar yang dikhaskan untuk pelbagai industri Halal bagi memenuhi akreditasi kualiti di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
v. Koridor Pembangunan Selatan Selangor
Kerajaan Negeri akan menerajui pembangunan kawasan industri baharu di selatan Selangor yang meliputi beberapa aspek bagi meneroka dan merealisasikan potensi sebenar kawasan ini yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA di Sepang.
Selangor International Aero Park di kawasan Sepang akan dibangunkan meliputi Zon Perdagangan Bebas, teknologi hijau serta sumber tenaga boleh diperbaharui.Projek ini yang akan diterajui oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu MBI dengan menyediakan fasiliti lengkap di atas tanah seluas 2,000 ekar yang diingini industri aeroangkasa, iaitu perkhidmatan servis dan pembaikan, gudang penyimpanan bahan mentah, komponen dan alat ganti pesawat, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pusat simulator yang dilengkapi teknologi terowong angin bagi kegunaan ujian pesawat.
Selangor International Aero Park berupaya menarik perhatian syarikat aeroangkasa yang menyediakan original equipment manufacturer ataupun (OEM), syarikat penerbangan, syarikat pengendali pesawat komersial dan peribadi serta syarikat yang terlibat dalam industri pertahanan dan teknologi.
vi. Hab Logistik Serendah
Dengan wujudnya kilang UMW High Value Performance Manufacturing Park Serendah yang menghasilkan kepala gerabak keretapi serta pengoperasian pembaikan komponen kapal terbang seperti fan case di sana, Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Serendah sebagai sebuah hab logistik bagi memenuhi kehendak ekonomi masa kini yang sangat bertumpu kepada industri sokongan ini.
vii. Selangor International Business Summit 2022
Sejak dianjurkan pada tahun 2015, Selangor International Business Summit (SIBS) telah menjadi jenama yang terkemuka di kalangan pemain industri dan perniagaan di rantau ini. Sejak 3 tahun yang lalu, SIBS telah berjaya mengumpulkan lebih 119,647 orang pengunjung dan 1,621 pempamer dengan jumlah transaksi sebanyak RM642.69 juta.
viii. Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam
Daerah Sabak Bernam merupakan hab pengeluaran makanan utama di negeri Selangor. Bagi memastikan sektor pertanian dan pengeluaran makanan di negeri Selangor dapat ditingkatkan, maka beberapa inisiatif-inisiatif baharu akan dilaksanakan bagi membangunkan ekonomi di daerah Sabak Bernam secara lebih holistik dan terancang.
Antara inisiatif penting yang dikenalpasti adalah pembangunan industri hiliran iaitu:
1) Membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan seluas 450 ekar – ini melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta dari pihak kerajaan dan swasta. Pusat ini akan dilengkapi jeti pelabuhan bersaiz sederhana, kilang pemprosesan hasil laut dan Agro Makanan, kemudahan simpanan sejuk beku dan terminal pengangkutan;
2) Pembinaan Pusat Sembelihan Ayam di Sekindi iaitu sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan;
3) Pembinaan Kilang Minyak Sawit di Jelutong Jati – RM50 juta; dan
4) Pusat Logistik dan Perdagangan di Sg. Lang dan Hentian di Air Manis – 36 ekar dengan nilai pelaburan sekitar RM500 juta.Untuk tujuan pelancongan di daerah Sabak Bernam, Kerajaan Negeri telah membaiki dan meningkatkan prasarana Kelong Paradise di Bagan Nakhoda Omar sebagai salah satu produk pelancongan dengan menjadikan kawasan sekitarnya sebagai taman ikan.
Bangunan Hay Resort milik Kerajaan Negeri juga akan dibangunkan semula dengan penyertaan pihak swasta dengan pelaburan sekitar RM20 juta bagi menyediakan kemudahan untuk para pelancong berkunjung, melancong, dan menginap di Sabak Bernam.
ix. Industri Pelancongan
Sektor pelancongan merupakan salah satu industri yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun 2020. Beberapa inisiatif telah dikenalpasti untuk merangsang sektor pelancongan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM114.6 juta bagi tempoh 2021-2025 yang melibatkan semua sektor industri di Negeri Selangor.
1) Geran Bantuan Pemulihan kepada Penggiat Industri Pelancongan untuk Tahun 2022 (Pakej Kita Selangor);
2) Pemerkasaan Kempen Promosi Pelancongan Negeri Selangor (Kempen Pusing Selangor Dulu & Kempen Splendid Selangor);
3) Penyediaan dan Pelaksanaan SOP Pelancongan “Selamat Dan Sihat” untuk Negeri Selangor;
4) Penganjuran Acara Persidangan Pelancongan Tourism Selangor Global Convention untuk Tahun 2022; dan
5) Pembangunan Infrastruktur Pelancongan dan Kraftangan.2. Penyediaan Infra Yang Lengkap Dan Kemudahan Kediaman Pekerja
Di bawah strategi ini, beberapa pendekatan telah dirangka dan dijalankan antaranya adalah seperti berikut:
i. Jalur Lebar Industri Selangor (JALIN)
Bagi mengukuhkan kedudukan negeri Selangor sebagai negeri pilihan utama pelabur tempatan dan luar negara, kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh syarikat kecil, sederhana dan multinasional selain elektrik dan air seperti infrastruktur jalur lebar mudah alih di sekitar kawasan perindustrian. SMARTSEL selaku penyedia infrastruktur telekomunikasi negeri Selangor akan bekerjasama dengan pemain industri telekomunikasi sedia ada dalam menyediakan jalur lebar di kawasan industri teknologi tinggi dengan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi tahun 2022.
ii. Ketersambungan Jaringan Jalan Raya
Kerajaan Negeri berazam merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan jaringan jalan raya yang lebih luas. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah RM138.13 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pelaksanaan projek – projek jalanraya pada tahun 2022.
iii. Pembangunan Kompleks Perumahan Pekerja Selangor
Selangor akan memulakan usaha membina Kompleks Perumahan Pekerja Selangor melalui PKNS yang akan memartabatkan hak asasi pekerja industri melalui penyediaan kemudahan kediaman yang kondusif, sistematik, berpengurusan, dan selamat, terutamanya aspek kesihatan seperti sistem pengudaraan ataupun ventilation.
Kerajaan Negeri juga bakal menikmati manfaat menerusi pengukuhan sektor ekonomi baharu, mengurangkan stigma negatif rakyat kepada pekerja industri warganegara asing, menyelesaikan isu sosial dan kesihatan dan seterusnya mampu merancakkan kembali sektor ekonomi pasca pandemik COVID-19. Usaha ini akan menepati Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].
3. Dasar Memudahcara Perniagaan (Ease of Doing Business)
Bagi meningkatkan lagi tarikan Selangor sebagai pilihan utama pelabur tempatan dan luar negara, Kerajaan Negeri akan memudahkan cara perjalanan perniagaan khususnya dari segi kebenaran merancang (KM), pelan bangunan (PB) dan pelan infrastruktur (PI).
Dalam pada itu, proses pembangunan tanah yang biasanya mengambil masa 270 hari atau sehingga setahun di Selangor akan dijimatkan hampir 50 peratus.
Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) mengukuhkan implementasi Smartbox PTGS bagi memudahkan urusan dan transaksi. Ini ekoran usaha yang diumumkan pada tahun 2020 tetapi menghadapi beberapa kekangan daripada Akta Tanah Negara. Kemudahan tersebut akan dilaksanakan dan diperluaskan pada tahun 2022 ke seluruh negeri Selangor.
Bagi memacu dan menggalakkan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi insentif pengecualian 100 peratus bayaran caj pemajuan iaitu RM 500 bagi pembinaan rumah mampu milik. Insentif ini akan bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023.
Ahli-ahli Y.B., adalah menjadi hasrat bagi Kerajaan untuk terus berusaha bagi menyuburkan ekonomi Negeri Selangor seterusnya mengagihkan kekayaan daripada hasil kutipan Negeri kepada rakyat secara adil dan saksama. Sudah tentu perancangan ke arah itu akan memerlukan strategi dan komitmen berterusan daripada pelbagai pihak terutamanya pemimpin-pemimpin masyarakat dan jentera Kerajaan. Rakyat yang berkembang kebolehannya akan menjadikan Selangor sebagai negeri yang kekal progresif dan produktif.