Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

13) MENARA-MENARA KOMUNIKASI TIDAK BERLESEN

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa jumlah pencawang tidak berlesen ini?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kerjasama pihak Yakin Telesel Sdn Bhd. (YTSB) telah melaksanakan Operasi Pemantauan Berkala dan Audit Tapak di seluruh negeri Selangor bagi mengenal pasti struktur haram/ struktur-struktur tidak berdaftar dan yang tidak mematuhi garis panduan terkini. Melalui laporan audit tapak tersebut, didapati jumlah keseluruhan struktur tidak berdaftar/ tidak berlesen adalah sebanyak 613 tapak yang mana sebahagian besar struktur haram ini telah dibina semenjak 10 tahun lepas. Berdasarkan sumber data daripada PBT dan YTSB, perincian jumlah pencawang tidak berlesen mengikut pecahan PBT adalah seperti yang berikut:

    I. Majlis Bandaraya Shah Alam – 36;
    II. Majlis Bandaraya Petaling Jaya – 42;
    III. Majlis Bandaraya Subang Jaya – 42;
    IV. Majlis Perbandaran Kajang – 77;
    V. Majlis Perbandaran Selayang – 111;
    VI. Majlis Perbandaran Klang – 5;
    VII. Majlis Perbandaran Ampang Jaya – 35;
    VIII. Majlis Perbandaran Sepang – 63;
    IX. Majlis Perbandaran Kuala Langat – 172;
    X. Majlis Perbandaran Kuala Selangor – 7;
    XI. Majlis Perbandaran Hulu Selangor – 19; dan
    XII. Majlis Daerah Sabak Bernam – 4.

  2. Apakah kesan kepada Kerajaan Negeri dan tindakan yang akan diambil?

    Antara kesan kepada Kerajaan Negeri sekiranya tiada tindakan yang sewajarnya dilaksanakan adalah—

    I. jangkaan kehilangan hasil sebanyak RM1.2 juta setahun;
    II. tiada rekod pembangunan struktur menara yang selamat dan sesuai digunakan mengikut kawasan/lokasi yang telah ditetapkan;
    III. boleh menggugat keselamatan Awam (penghuni, pengguna jalanraya dan penduduk sekeliling) kerana setiap perancangan dan pembangunan kemudahan infrastruktur awam seperti menara pemancar dan struktur sistem pemancar komunikasi di semua kawasan seliaan PBT di Negeri Selangor hendaklah tertakluk kepada undang-undang semasa serta perlu menekankan elemen keselamatan; dan
    IV. usaha Kerajaan Negeri dalam menyahut kedatangan teknologi 5G di negeri ini akan terjejas.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Bil. 1/2022 yang telah diadakan pada 14 Februari 2022 telah bersetuju agar semua PBT Negeri Selangor mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis perobohan ke atas pemilik menara telekomunikasi yang tidak berdaftar/ haram/ tidak perbaharui permit di kawasan PBT masing-masing selewat-lewatnya pada 31 Mac 2022.

    PBT boleh mengeluarkan notis mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa seperti Akta 133 – Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Akta 172 – Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Sekiranya pemilik struktur enggan menjelaskan bayaran kompaun tersebut, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap struktur tersebut.
    Selain daripada itu, usaha yang boleh dilaksanakan bagi memantau menara-menara telekomunikasi yang tidak berlesen adalah dengan—

    I. melaksanakan dan menyelaraskan inventori struktur telekomunikasi di semua PBT;
    II. menyediakan sistem pemantauan dan sistem penjejakan bagi struktur telekomunikasi;
    III. melaksanakan Audit Keselamatan atas Struktur Telekomunikasi di semua PBT; dan
    IV. mengurangkan dan menghapuskan struktur haram dan struktur yang bahaya di setiap PBT

Lampiran

Tiada Lampiran.