Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

5) BANTUAN MEMBAIKPULIH RUMAH MANGSA BANJIR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan rumah yang telah dibaikpulih semula akibat banjir oleh Kerajaan Negeri Selangor? Perincikan mengikut Daerah.

    Untuk pengetahuan Yang Berhormat, bantuan membaik pulih dan bina baharu rumah mangsa banjir telah diselaraskan di peringkat negeri dengan tertubuhnya satu jawatankuasa bertindak iaitu Jawatankuasa Pelarasan Baik Pulih dan Bina Baharu Rumah-rumah Mangsa Banjir Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Jawatankuasa tersebut dikoordinasi oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (UPBN) serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

    Beberapa siri perbincangan telah diadakan yang turut dihadiri oleh wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jabatan Kerja Raya Selangor (JKR Selangor), Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS Selangor), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor (PlanMalaysia@Selangor), Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS), Pemerbadanan Menteri Besar Negeri Selangor (MBI), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Unit Perancangan Ekonomi Selangor (UPEN Selangor), Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor (PDT).

    Sehingga 31 Januari 2022, sebanyak sepuluh ribu tujuh ratus tiga puluh (10,730) permohonan diterima oleh agensi-agensi kerajaan negeri yang berkaitan daripada mangsa-mangsa banjir negeri Selangor. Permohonan-permohonan tersebut telah dibahagi dan diperincikan kepada agensi-agensi tertentu untuk diambil tindakan seterusnya. Berikut adalah perincian data permohonan yang telah diterima:-

     

    Sehingga 28 Februari 2022, Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah telah menjalankan inventori kerosakan unit rumah serta melakukan kerja-kerja baikpulih dan bina baharu di bawah peruntukan KPLB dan ICU JPM. Manakala LZS mengambil inisiatif untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dan bina baharu untuk mangsa-mangsa banjir yang terkesan dengan menggunakan peruntukan sendiri.

    Justeru itu, Jawatankuasa Pelarasan Baik Pulih dan Bina Baharu Rumah-rumah Mangsa Banjir Negeri Selangor telah memuktamadkan bahawa Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sepenuhnya kepada lebihan permohonan yang tidak dapat dikawal selia dan diuruskan oleh agensi-agensi kerajaan persekutuan yang telah dilantik.

    Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor melalui LZS sedang dan telah menjalankan kerja-kerja baik pulih unit kediaman rosak akibat banjir sebanyak 139 unit manakala bina baharu sebanyak 22 unit.

     

     

  2. Nyatakan kos yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Selangor setakat ini.

    Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga 28 Februari 2022, kos baik pulih dan bina baharu unit rumah di bawah kendalian Lembaga Zakat Selangor (LZS) adalah sebanyak Ringgit Malaysia Dua Juta Lima Ratus Ribu (RM 2,500,000.00).

Lampiran

Tiada Lampiran.