Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

4) PELABURAN DALAM NEGERI

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pelaburan dalam negeri bagi tahun 2022 dijangka akan lebih tertumpu kepada sektor yang mana?

    Bagi tahun 2022 Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor mensasarkan pelaburan dalam sektor perindustrian yang melibatkan industri – industri seperti berikut;-

    i. Elektik dan Elektronik;
    ii. Sains Hayat;
    iii. Pengangkutan dan kelengkapan;
    iv. Jentera dan peralatan
    v. Pembuatan makanan dan minuman;
    vi. Pelaburan Digital dan Logistik

  2. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memastikan peningkatan pelaburan dalam sektor berkenaan?

    Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor selaku agensi penggalakkan pelaburan sentiasa melaksanakan berbagai program dalam usaha memastikan Negeri Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh Pelabur. Walaupun dalam keadaan dunia dilanda Pandemik COVID-19 ketika ini, ia tidak menghalang untuk pihak Kerajaan Negeri melaksanakan program – program promosi yang telah dijadualkan dan dirancang sebelum ini menerusi pelbagai kaedah seperti webinar, persidangan dan pameran secara maya (virtual). Bagi program – program secara fizikal pula, perlaksanaan program – program tersebut mengikut SOP yang telah digariskan oleh pihak Kerajaan.

    1.1 Perancangan Strategik;

    i. PENUBUHAN JAWATANKUASA PETUGAS KHAS PEMBANGUNAN.

    Dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi dan hartanah, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan Selangor Golden Triangle yang melibatkan daerah Sepang dan Kuala Langat.

    Penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan ini secara langsung akan berperanan sebagai pemudah cara dan penyelaras dalam membantu merealisasikan perlaksanaan cadangan pembangunan projek disamping membantu menyelesaikan isu – isu yang berbangkit.

    ii. SELANGOR AVIATION SHOW (SAS).

    Sektor aeroangkasa di Negeri Selangor akan terus dipacu dan diperkukuhkan dengan hasrat menjadikan Negeri Selangor sebagai lokasi pelaburan utama untuk industri aero angkasa dengan mensasarkan sebanyak 70% syarikat – syarikat berkaitan aero angkasa di Negara ini beroperasi di Selangor.

    Berbagai program penggalakkan pelaburan seperti sesi libat urus, webinar dan lain -lain program bersama pemain dalam industri Aeroangkasa di Selangor sentiasa diadakan dari masa ke semasa. Penganjuran pameran ini adalah antara program yang dirangka khusus untuk menggalakkan aktiviti pelaburan dalam industri Aeroangkasa sepertimana yang dirangka dalam Pelan Tindakan yang telah diterbitkan.

    Objektif penganjuran Selangor Aviation Show adalah untuk mempromosikan Subang sebagai hub aktiviti penerbangan perniagaan dan am atau Business Aviation dan General Aviation dan menjadi medium bagi syarikat-syarikat perusahaan sederhana dan kecil tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka serta berpeluang untuk meneroka kerjasama dengan syarikat luar.

    Bagi tahun 2022, penganjuran Selangor Aviation Show (SAS) akan diteruskan dan dirancang akan diadakan pada 8 – 10 September 2022 bertempat di Subang Skypark RAC.

    iii. PELAN TINDAKAN BIOTEKNOLOGI SELANGOR (SELANGOR BIOTECHNOLOGY ACTION PLAN).

    Perancangan yang holistik akan digarap sebaik mungkin bagi memperkasakan pertumbuhan industri terpilih seperti bidang Bioteknologi yang amat berpotensi untuk berkembang di Selangor. Pelan Tindakan Bioteknologi Selangor yang diterbitkan akan menggariskan perancangan pembangunan secara komprehensif bagi memacu pertumbuhan industri bioteknologi di Negeri Selangor disamping menyediakan Negeri Selangor sebagai lokasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara.

    Bagi melaksanakan perancangan pembangunan dalam industri bioteknologi, Kerajaan Negeri telah mewujudkan sebuah divisyen khusus yang dikenali sebagai Selangor Bioteknologi Coordination Office (SBIOCO) yang diletakkan dibawah Invest Selangor. Divisyen baru ini akan berperanan untuk menyelaras pembangunan projek – projek berasaskan bioteknologi di Negeri Selangor dan juga pembangunan ekosistem industri berkenaan.

    iv. PENUBUHAN MAJLIS INDUSTRI REL NEGERI SELANGOR

    Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Industri Rel Negeri Selangor bagi memastikan industri ini diberi perhatian kerana industri ini dilihat mampu memberikan impak yang besar kepada ekonomi Selangor pada masa akan datang.

    Penubuhan Majlis Industri Rel Negeri Selangor adalah bagi memastikan inisiatif-inisiatif pembaharuan strategik menjadi asas yang penting kepada agenda pemakmuran negeri dan peningkatan kualiti kehidupan.

    Objektif penubuhan majlis ini adalah untuk;-

    a) Memberikan dokongan kepada pengukuhan perkembangan industri rel di Negeri Selangor;
    b) Memberikan pandangan kepada Kerajaan Negeri tentang halatuju indutsri rel di negeri Selangor;
    c) Membangunkan ekosistem industri rel di negeri Selangor;
    d) Menjadikan industri rel di Selangor sebagai salah satu industri yang memberi impak besar kepada ekonomi negeri.

    Majlis yang ditubuhkan ini berperanan untuk;-

    a) Meningkatkan potensi pelaburan di dalam industri rel dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di Selangor;
    b) Merancang dan merangka program-program pembangunan dan promosi industri rel di negeri Selangor.

    1.2 Pelaksanaan Program Promosi Penggalakkan Pelaburan

    Dalam usaha mengekalkan dan menarik pelaburan baru, program – program promosi penggalakkan pelaburan telah dirancang sebaik mungkin untuk dilaksanakan sepanjang tahun. Walaupun negara sedang dilanda pendemik Ketika ini, perancangan perlaksanaan program yang telah diputuskan tetap diteruskan dan disesuaikan dengan keadaan semasa.

    Program – program libat urus, perbincangan, webinar, promosi dan pengiklanan dalam media cetak mahupun elektronik secara berterusan dilaksanakan agar program – program promosi penggalakkan pelaburan tidak terhenti disebabkan penularan pendemik.

    i. Program Promosi Penggalakkan Pelaburan.

    Melalui program – program menarik pelaburan seperti Trade & Investment Mission secara fizikal dan virtual terus diperkukuhkan lagi disamping penekanan kepada industri Electrical & Electronic dan Machinery & Equipment yang dilihat sebagai industri yang berkembang di Selangor.

    Selain daripada itu, 2 industri baru turut dikenalpasti dan berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan seperti Digital Investment dan Transportation & Logistic.

    ii. Selangor International Business Summit (SIBS)

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor Berhad selaku penganjur telah mengadakan program ‘Selangor International Business Summit Hybrid 2021 (SIBS 2021)’ edisi kelima pada 7 – 10 Oktober 2021 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre dan juga secara virtual di www.selangorbusinesshub.my

    Bagi tahun 2022, penganjuran SIBS bagi edisi ke enam akan diteruskan dan program pameran dan persidangan ini dijadualkan akan diadakan pada 6 – 9 Oktober 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur.

    Objektif penganjuran program ini untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Hub Perdagangan Global dirantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.

    Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi rantau ASEAN

    Antara komponen-komponen program:
    1. Selangor International Expo (F&B)
    2. Selangor International Expo (MEDIC)
    3. Selangor Industrial Park Expo (SPARK)
    4. Selangor ASEAN Business Conference (SABC)
    5. Selangor Smart City and Digital Economy (SDEC)
    6. Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE)
    7. Selangor International Culinary Festival

    iii. Program – Program Menyantuni Pelabur & Penyelesaian Isu – Isu Pelaburan.

    Program – program networking dan sesi pertemuan dan perbincangan bersama pelabur secara fizikal dan virtual sentiasa dilaksanakan dari masa ke semasa menyantuni pelabur yang sedia ada di Negeri Selangor. Mesyuarat atau perbincangan diadakan setiap bulan bagi membantu menyelesaikan isu – isu pelaburan yang berbangkit.

    Program menyantuni pelabur yang diadakan secara berterusan ini dapat mewujudkan suasana pelaburan harmoni di Selangor bagi menggalakkan pelaburan baru atau penambahan / pengembangan pelaburan sedia ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.