Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

286) PEKERJAAN UNTUK RAKYAT

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat Selangor ketika negara melangkah ke fasa endemik COVID-19?

    Sebagaimana Yang Berhormat Semenyih sedia maklum, Negeri Selangor Darul Ehsan telah beralih kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dimana kebanyakkan sektor sosioekonomi telah dibenarkan untuk beroperasi tertakluk mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang berkuatkuasa semasa. Oleh yang demikian, melihat kepada trend kebolehjangkitan dan penularan wabak pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan negara sedang melangkah ke fasa endemik COVID-19.

    Namun begitu, kebenaran beroperasi sektor sosioekonomi semasa penguatkuasaan PPN Fasa 4 menuju endemik COVID-19 tidak menjamin peluang pekerjaan dan sumber pendapatan sama rata kepada golongan yang terjejas sepanjang penularan wabak pandemik COVID-19. Peluang pekerjaan dan punca pendapatan baru harus diterokai dan digunakan sebaik mungkin selari dengan keperluan dan kehendak semasa pasaran.

    Memahami situasi semasa, Kerajaan Negeri Selangor telah mewujudkan satu portfolio baharu yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja Negeri Selangor. Jawatankuasa Tetap ini adalah berperanan dalam membantu rakyat di negeri Selangor khususnya yang mempunyai masalah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan akibat daripada penularan wabak pandemik COVID-19. Sehubungan dengan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (MMKN) Ke 30 / 2021 pada 8 September 2021, telah menimbang dan meluluskan penubuhan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja bagi melancarkan pergerakan program kepada kumpulan sasaran.

    UPPS akan bertindak sebagai salah satu platform/ medium di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja Negeri Selangor sebagai perantara dalam membantu rakyat negeri Selangor khususnya bagi mendapat bimbingan dan latihan dalam sektor  pekerjaan serta menjalinkan usahasama strategik bersama jabatan dan agensi awam dan swasta serta Badan Bukan Kerajaan / Persatuan  dan pihak – pihak yang berkaitan bagi membantu kumpulan sasaran.

     

    Di bawah UPPS ini, fokus utama adalah tertumpu kepada golongan B40 yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan sahaja. Secara dasarnya, terdapat dua (2) sektor utama di bawah UPPS seperti berikut :

    1. Sektor Pemberdayaan & Hak Pekerja
    2. Sektor Pembangunan

     

    Kedua – dua sektor ini adalah dikhususkan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan program-program tahunan di bawah UPPS.

    Memandangkan portfolio ini masih baharu ditubuhkan dan pelantikan kakitangan UPPS secara rasmi adalah pada 1 Oktober 2021, Jawatankuasa Tetap masih merangka dan memperhalusi beberapa cadangan program yang akan dijadikan sebagai program tahunan. Walau bagaimanapun, dalam masa yang singkat, UPPS telah  berjaya menjalankan beberapa program serta menjalinkan usahasama strategik bersama pelbagai agensi / persatuan / institusi pengajian yang berkaitan. Antara program-program tersebut adalah seperti berikut:

     

          I.        Program Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 750 orang peserta dalam kalangan B40
        II.        Program Latihan dan Penempatan Pekerja dengan usahasama Kolej Kings dengan penyertaan seramai 30 orang peserta program dari kalangan B40
       III.        Persidangan secara maya bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta
      IV.        Latihan pekerjaan dan penempatan segera dari kalangan B40 bersama usahasama AA Knowledge yang melibatkan penyertaan seramai 30 orang peserta
       V.        Karnival Kerjaya Maya bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melibatkan penyertaan seramai 100 orang peserta
      VI.        Persidangan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melibatkan penyertaan seramai 140 orang peserta
     VII.        Taklimat bersama Jobstreet berkenaan teknik carian kerja untuk golongan B40 melibatkan penyertaan seramai orang 150 peserta

     

    Bagi pemulaan tahun 2022, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) akan melaksanakan lebih banyak program-program dengan menerokai ruang dan peluang kerjasama strategik baru dengan pelbagai jabatan dan agensi agar agenda “Selangor Maju Bersama” dan matlamat bagi membantu golongan B40 yang terkesan akibat daripada penularan wabak pandemik COVID-19 khususnya mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan dapat dicapai.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.