Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

283) PEMBINAAN PINTU AIR (TIDAL GATE) DI KAWASAN INDUSTRI BARU SUNGAI SAIM.

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah sebarang cadangan untuk memastikan pintu air ini berfungsi memastikan hanya air yang dirawat sahaja akan dilepaskan dari kawasan industri bagi menjamin kelestarian sumber marin dan ekosistem demi masa depan para nelayan setempat?

    Terdapat dua (2) batang anak sungai yang berhampiran dengan Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, Klang. Di bahagian selatan terdapat Sungai Che Awang dan di bahagian utara pula Sungai Beting. Kedua-dua sungai ini akan bertemu membentuk kawasan tadahan Sungai Puloh yang mengalir terus ke laut atau Selat Klang. Lembangan Sungai Puloh mempunyai banyak jaringan anak sungai di bahagian hulu dan berdasarkan semakan terdapat empat (4) buah pintu air pasang surut (tidal gate).

    Berdasarkan semakan, jarak pintu air pasang surut di Sg Keramat (anak Sg Puloh) dengan kawasan perindustrian adalah 0.95km iaitu Taman Klang Utama dan Taman Cempaka Sari 2. Di bahagian Selatan pula terdapat kawasan perindustrian sedia ada iaitu yang terhampir adalah kawasan perindustrian Batu 4 Klang. Pintu air pasang surut (tidal gate) berfungsi bagi kawalan kuantiti sahaja iaitu sebagai struktur yang dapat dibuka atau ditutup bagi tujuan pengairan dan saliran ke laut dibawah kendalian pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan tidak melibatkan kawalan dari aspek kualiti.

    Walau bagaimanapun, kawalan kualiti pelepasan efluen aktiviti perindustrian adalah tertakluk di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 di bawah kawal selia Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum dilepaskan ke sumber air atau badan air. Manakala melalui LUAS, kawalan aktiviti adalah terhad kepada tujuh (7) aktiviti berjadual di bawah Peraturan-peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012.

    Selain itu, bagi industri-industri yang menghasilkan efluen perindustrian, industri tersebut perlu membina sistem pengolahan efluan dan pelepasannya perlu mematuhi had piawaian sebagaimana yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. Pihak industri juga diwajibkan mempunyai Orang Yang Berwibawa (OYB) yang bertanggungjawab memastikan sistem pengolahan efuen berfungsi dengan berkesan dan hanya efluen yang telah dirawat boleh dilepaskan ke sungai.

Lampiran

Tiada Lampiran.