Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

244) SUKA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah fungsi "SUKA"?

    Kesan daripada penularan pandemik Covid-19 telah membuka mata Kerajaan Negeri akan kepentingan memiliki komuniti yang saling bekerjasama dalam membantu golongan yang didapati positif Covid-19 serta masalah kesihatan yang lain. Hal inilah yang mendorong Kerajaan Negeri menubuhkan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) yang telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada 14 Oktober 2021 lalu.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, SUKA yang ditubuhkan di setiap 56 Dun di negeri Selangor bertujuan mewujudkan komuniti Selangor yang sihat sejahtera dalam pelbagai aspek kesihatan di samping membantu Kerajaan Negeri mewujudkan sebuah komuniti yang sihat sejahtera dalam aspek fizikal dan mental melalui aktiviti dan program setempat yang dapat meningkatkan kesihatan dan kesedaran orang awam. Antara objektif SUKA adalah seperti berikut:

     

    1. Meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan diri dan kebersihan persekitaran;
    2. Meningkatkan status kesihatan dan kualiti kehidupan masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sihat dan produktif;
    3. Mempromosikan dan menggalakkan budaya gaya hidup sihat melalui pelbagai platform kepada masyarakat setempat;
    4. Menjadi penghubung dan pemudahcara bagi menyampaikan informasi berkenaan program dan insentif Kerajaan Negeri berkaitan aspek kesihatan kepada masyarakat setempat;
    5. Bertindak sebagai pasukan yang menguruskan sukarelawan kesihatan awam di peringkat komuniti; dan
    6. Membantu mengurangkan insidens dan prevalens penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.
  2. Berapakah peruntukan telah diberi kepada program ini?

    Bagi memastikan pelaksanaan program SUKA ini berjalan lancar dan mencapai objektif yang telah ditetapkan, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM1,214,400.00 pada tahun 2021. Daripada jumlah ini, sebanyak RM100,000.00 akan digunakan bagi tujuan latihan kepada koordinator dan ahli SUKA, sebanyak RM18,000.00 diberikan kepada setiap Dun bagi pengurusan program berkaitan yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM1,008,000.00 manakala bakinya digunakan bagi tujuan pembelian vest, kit sukarelawan dan aktiviti promosi program SUKA di seluruh negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.