Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
240) PRESTASI KUMPULAN PERANGSANG SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berikan penerangan terhadap prestasi kewangan KPS sejak lima tahun yang lepas?
Pada tahun 2016, KPS telah melancarkan Program Transformasi Perniagaan, bertujuan untuk merasionalkan hala tuju dan fokus strategic syarikat ke sektor pembuatan. Program Transformasi Perniagaan ini juga mengimbangi objektif korporat dalam mengembangkan perniagaan ke lokasi geografi yang melangkau jauh dari Selangor dan Malaysia, demi merangkul peluang perniagaan yang lebih kukuh dan mampan, sekali gus menangani pendedahan risiko perniagaan.
Apabila Program Transformasi Perniagaan ini matang pada 2020, pemerolehan syarikat-syarikat seperti Century Bond Bhd., Kaiserkorp Corporation Sdn. Bhd., CPI (Penang) Sdn. Bhd. dan Toyoplas Manufacturing (M) Sdn. Bhd. telah pun selesai dengan jayanya. Strategi perniagaan ini telah membuahkan hasil yang memberangsangkan dengan pencapaian pertumbuhan hasil sebanyak tujuh kali ganda dari RM144.5 juta pada tahun 2016 ke RM1.07 billion pada tahun 2020.
Setakat 31 Disember 2020, KPS telah berjaya mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai sebanyak RM40.1 juta. Anggaran keuntungan untuk tahun 2021 dijangkakan lebih memberangsangkan walaupun KPS masih lagi di dalam belenggu pandemik COVID-19. Ekspetasi ini membuktikan daya tahan dan kecekalan KPS dalam menerajui cabaran dan impak sosio-ekonomi ekoran pandemik yang masih mencengkam rantaian bekalan dan bahan mentah sektor pembuatan di serata dunia.
Jika diambil kira pulangan pemegang saham yang telah diagihkan, KPS telah pun mengagih lebih RM583 juta dividen dari tahun 2004 sehingga 2020. Sejak Program Transformasi Perniagaan terlancar, jumlah dividen yang telah teragih adalah melebihi RM20 juta setahun. Bahkan, pada tahun 2019 sahaja, KPS telah mengagihkan kepada pemegang sahamnya satu dividen khas berjumlah lebih RM175 juta. Memandang pentingnya pengekalan pengagihan dividen, pada tahun 2020, semasa KPS berada di kemuncak cabaran pandemik COVID-19, KPS tetap tegar memberi pulangan dividen kepada pemegang sahamnya lebih RM13 juta.
Ternyata, berlandaskan keberkesanan penyeliaan Ahli Lembaga Pengarah KPS serta kepengurusan jabatan-jabatannya yang berwawasan, prestasi kewangan syarikat KPS adalah teguh sehingga mampu mengekalkan prestasi perniagaan sekaligus pulangan pemegang saham yang konsisten sejak sekian lama.
-
Mengapakah prestasi saham KPS di Bursa Malaysia berkisar di sekitar RM1 sahaja dan sekarang diperdagangkan di bawah RM1?
Prestasi harga saham sebuah syarikat bergantung pada dua faktor utama: unjuran keuntungan dan sentimen pelabur.
Program Transformasi Perniagaan yang telah dilancarkan sebelum ini telah berkesan dalam meningkat keuntungan syarikat dan menambah minat pelabur sejak tahun 2016. Contohnya kini, KPS telah berjaya meraih sokongan daripada pelabur institusi seperti Philip Dana Aman, Kaf Income Fund, Norges Bank dan City of New York Group Trust. kepercayaan para pelabur terhadap kekuatan dasar dan kewangan KPS jelas terbukti dengan peningkatan harga saham KPS (sejak pelupusan aset SPLASH) dari 29 sen pada bulan Mac 2020 ke RM1.08 pada akhir Disember 2020.
Namun, impak dari pandemik COVID-19 telah memainkan peranan yang besar terhadap turun naiknya harga saham KPS. Disebabkan perubahan pada sentimen pelabur sepanjang tempoh pandemik yang memihak kepada saham bermodal besar, saham KPS telah mengalami tekanan jualan, membawa harga saham di bawah paras RM1.00 ke sekitar 74 sen setakat 19 November 2021.
Namun, berikutan perkembangan positif pengurusan pandemik dan perkembangan ekonomi global, KPS menjangkakan prestasi harga saham akan meningkat lebih baik dalam masa hadapan bersasarkan suku-suku kewangan seterusnya yang lebih kukuh.