Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

236) PEMBANGUNAN SEMULA PERUMAHAN LAMA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan Kerajaan Negeri terhadap kawasan perumahan lama yang kurang dihuni?

    Untuk makluman Yang Berhormat, antara usaha Kerajaan Negeri dalam menangani isu kemerosotan bilangan penghuni di sesuatu kawasan perumahan lama yang terkesan akibat proses pembangunan di Negeri Selangor adalah melalui usaha Pembaharuan Semula Penempatan Bandar yang bertujuan memberi nafas baharu kepada kawasan-kawasan terpinggir, usang, terbiar dan tidak ekonomik. Pembangunan Pembaharuan Semula Bandar akan melalui proses pembangunan semula di sudut penyelarasan tanah melalui proses-proses pengubahan Rancangan Tempatan, rundingan berkenaan insentif dan usaha pembangunan serta pampasan kepada penduduk asal. Matlamat usaha pembaharuan semula ini adalah bagi meningkatkan nilai, imej dan rekabentuk bandar serta kualiti hidup masyarakat di kawasan yang berkenaan.

    Sebuah Jawatankuasa Induk Pembangunan Pembaharuan Semula Bandar telah diwujudkan bagi tujuan ini yang mana fungsi adalah seperti : –

    1)  Sebagai pusat setempat bagi membincangkan program Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal) dengan pihak berkepentingan yang dikemukakan oleh pihak pemaju/penduduk;

    2) Platform untuk memantau/mengkaji pelaksanaan program Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal) bagi memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan jayanya; dan

    3) Bagi melindungi kepentingan penduduk setempat khususnya mengenai  tawaran-tawaran dan syarat yang dibuat oleh pihak pemaju sama ada  ianya munasabah atau sebaliknya

    4)  Menjalankan tapisan sebelum memperakuan permohonan yang layak untuk dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pemaju/Konraktor.

  2. Berapakah tapak perumahan yang dikenalpasti untuk dipulihkan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, ketika ini sebuah tapak perumahan yang telah dikenalpasti oleh Jawatankuasa untuk dipulihkan adalah di Perumahan 1,720 unit Rumah Kos Rendah di Pandan Jaya, Mukim Ampang, Daerah Hulu Langat, Selangor.

  3. Apakah status cadangan pembangunan semula di kawasan Pandan Jaya?

    Setakat ini, pihak pemaju telah memulakan proses kaji selidik bagi mendapatkan persetujuan penduduk, namun usaha di lapangan telah tergendala akibat pandemik COVID-19 yang melanda Negara. Pihak pemaju telah memaklumkan kerja – kerja kaji selidik dan dialog bersama penduduk akan diadakan setelah pihak pemaju dapat memastikan keselamatan pihak yang terlibat dalam usaha ini terjamin. Oleh yang demikian, pihak pemaju mencadangkan tempoh bagi memperoleh keputusan bersama penduduk mengenai halatuju pembangunan ini adalah sehingga tahun 2022.

Lampiran

Tiada Lampiran.