Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

222) KEGANASAN RUMAH TANGGA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik dan perbandingan kes keganasan rumah tangga antara masa sebelum PKP dan sewaktu PKP.

    Untuk makluman Yang Berhormat Rawang, berdasarkan statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor, perbandingan kes keganasan rumah tangga menunjukkan trend peningkatan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sewaktu PKP dilaksanakan di Negeri Selangor. Pada tahun 2019 sebanyak 1,159 kes telah direkodkan, diikuti 1,349 kes bagi tahun 2020 dan 1,519 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober 2021. Berikut adalah statistik kes keganasan rumah tangga mengikut daerah di Selangor yang dilaporkan :

     

    Bil. Daerah Tahun
    2019 2020 2021

    (Jan – Okt)

    1 Petaling Jaya 195 197 208
    2 Subang Jaya 45 54 49
    3 Klang Selatan 48 60 119
    4 Klang Utara 44 65 93
    5 Shah Alam 54 55 62
    6 Kajang 185 177 209
    7 Gombak 110 178 155
    8 Ampang Jaya 59 90 110
    9 Kuala Langat 68 54 93
    10 Kuala Selangor 46 64 52
    11 Hulu Selangor 89 96 100
    12 Sabak Bernam 48 50 60
    13 Sepang 66 89 71
    14 Serdang 52 66 69
    15 Sungai Buloh 49 53 68
    16 KLIA 1 1 1
    Jumlah 1,159 1,349 1,519

                  Sumber : PDRM Kontinjen Selangor

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kes keganasan rumah tangga?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan 14 (b). Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menyediakan Talian SELamat sebagai talian khas untuk masyarakat membuat aduan tentang keganasan rumah tangga yang berlaku khususnya di Negeri Selangor. Inisiatif ini adalah sebagaimana terkandung di dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada bulan Jun 2021 yang lalu.

     

    Talian SELamat  telah mula beroperasi pada 1 November 2021, selama 24 jam menerusi talian 03-64195027 di bawah kendalian Wanita Berdaya Selangor (WBS). Pada masa yang sama, WBS turut berkongsi maklumat dan informasi mengenai Talian SELamat  di laman sosial WBS (Facebook dan Instagram), Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 kawasan DUN serta di pejabat rakan usahama sebagai langkah untuk menyebarkan kesedaran dan advokasi berkenaan Keganasan Rumah Tangga (KRT).

     

    Selain itu, WBS akan mengadakan Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender bermula 25 November hingga 10 Disember sebagai langkah advokasi kepada masyarakat. Sebahagian daripada kandungan kempen tersebut adalah perasmian Talian SELamat yang telah dirasmikan pada                             22 November 2021 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

    Sepanjang 16 hari tersebut, WBS merancang untuk melaksanakan empat (4) siri webinar KRT, bengkel latihan pengendalian KRT, edaran kit KRT serta program-program di 56 DUN dengan usahasama bersama Penyelia-penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB). Program-program kesedaran KRT turut diperluaskan melalui tugas dan kerja lapangan bagi pelajar dan aktivis di Akademi Kepimpinan Wanita (AKW).

     

    WBS juga turut mengadakan Perbincangan Meja Bulat bersama Ahli Jawatankuasa KRT Negeri Selangor bagi bersama-sama merancang serta membincangkan Pelan Tindakan jangka masa pendek dan panjang untuk mengurangkan kes KRT di Negeri Selangor. Hasil perbincangan tersebut, sebuah
    Pelan Tindakan KRT Negeri Selangor Tahun 2022 telah berjaya dimuktamadkan dengan empat (4) keutamaan iaitu:

     

    1. Pencegahan dan intervensi awal;
    2. Pendayaupayaan pemandiri;
    3. Responsif terhadap ahli keluarga pemandiri; dan
    4. Pelaku bertanggungjawab merentasi sistem.

     

    Pada Tahun 2020, menerusi sebuah projek perintis ‘Komuniti Selamat Bersepadu’, Kerajaan Negeri telah membiayai mangsa KRT menerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan jumlah perbelaanjaan sebanyak RM46,436.50 bagi kos rawatan perubatan, tempat perlindungan, makanan dan telefon.

  3. Apakah tindakan yang boleh diambil bagi melindungi mangsa kes keganasan rumah tangga?

    Bagi melindungi mangsa kes keganasan rumah tangga yang diterima menerusi Talian SELamat ini, WBS telah mengadakan kerjasama bersama JKM Negeri Selangor yang berperanan untuk memberikan latihan kepada staf dalaman dan sukarelawan yang terlibat dalam mengendalikan Talian SELamat agar maklumat yang tepat dapat disalurkan kepada pemanggil atau pemandiri. Turut disediakan borang rujukan kes kepada JKM Negeri Selangor sekiranya pemandiri memerlukan tempat berlindung atau tempat selamat yang diwartakan dan seterusnya kes di ambil alih oleh JKM Negeri Selangor.

    Selain itu, usahama dengan JKM Negeri Selangor dan PDRM adalah menerusi perkongsian rangkaian direktori bagi memastikan permakluman maklumat dan lokasi pemandiri yang tepat dan membolehkan pihak berwajib mengambil tindakan dan memberikan bantuan dengan sewajarnya dengan segera kepada pemanggil atau pemandiri. WBS turut bekerjasama dengan JKM Negeri Selangor dan PDRM bagi mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO).

     

    Bagi melengkapkan ekosistem, jalinan usahasama di peringkat masyarakat setempat adalah menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang berperanan untuk berkongsi kesedaran dan maklumat Talian SELamat ke seluruh 56 DUN berkaitan KRT bagi mewujudkan komuniti selamat dan sejahtera di dalam masyarakat. Selain itu juga, PWB turut berperanan sebagai individu di lapangan yang dapat membantu pemandiri yang memerlukan pertolongan kecemasan awal sebelum ketibaan PDRM untuk membantu siasatan.

     

    WBS pada masa yang sama akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi seperti JKM, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan rumah perlindungan bagi pemandiri yang ingin mendapatkan penempatan sementara.

Lampiran

Tiada Lampiran.