Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

214) PEMBERSIHAN SUNGAI KLANG

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila maklumkan jumlah sampah yang dikutip oleh mesin Inceptor asal dan Inceptor 2 di Sungai Klang.

    The Interceptor 002 mula beroperasi di Sungai Klang sejak November 2019 dan semenjak itu, sebanyak kira-kira 770 MT sampah telah berjaya dikutip sehingga September 2021 iaitu bersamaan dengan 68.8 MT sampah dalam sebulan. Berdasarkan kepada statistik, jumlah kutipan sampah yang direkodkan dengan penggunaan The Interceptor 002 adalah kira-kira 7.6% daripada jumlah purata kutipan sampah di Sungai Klang untuk tempoh sebulan iaitu sebanyak kira-kira 900 MT.

    Lanjutan daripada kejayaan pengoperasian The Interceptor 002, LLSB dengan kerjasama The Ocean Cleanup telah membawa masuk sebuah lagi unit The Interceptor yang dinamakan sebagai The Interceptor 005. The Interceptor 005 ini telah ditaja sepenuhnya oleh kumpulan muzik antarabangsa iaitu Coldplay. The Interceptor 005 telah ditambat (moored) di Sungai Klang berdekatan dengan Jambatan Jalan Parang, Bandar Pelabuhan Klang pada 28 Oktober 2021 dan kini sedang dalam fasa pengujian dan pentauliahan (testing and commissioning). The Interceptor 005 ini dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada awal Disember 2021. Pengoperasian kedua-dua Interceptor 002 dan Interceptor 005 di Bandar Klang ini dapat membantu melengkapi usaha pihak LLSB dalam operasi pembersihan sungai sedia ada.

  2. Senaraikan kategori dan jenis sampah yang dikutip dan di mana ianya dilupuskan atau dikitar semula.

    Sepanjang tempoh lima (5) tahun, bermula pada tahun 2016 hingga September 2021 pelaksanaan operasi pembersihan secara menyeluruh, sebanyak kira-kira 75,000 MT sampah terapung telah berjaya dikutip dan dikeluarkan daripada Sungai Klang.

    Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Malaya, 49% daripada kutipan sampah terapung di Sg Klang dikategorikan sebagai sampah organik (tumbuhan tebing sungai) manakala selebihnya dikategorikan sebagai sampah bukan organik (plastik, tin alaminium, gelas dll.). Sebanyak 80% daripada sampah bukan organik tersebut merupakan sampah jenis plastik.

    Sampah-sampah yang telah berjaya dikeluarkan daripada Sungai Klang akan dilupuskan di Pusat Pelupusan Sampah Worldwide, Jeram. Bagi menambahbaik operasi ini, pihak LLSB juga telah menjalin dan melaksana program usahasama bersama pihak Nestle Malaysia pada Oktober 2021 dalam melaksanakan Program Kitar Semula yang dinamakan Plastic Waste Recovery Program di log boom Sungai Kandis. Pihak LLSB turut bekerjasama bersama pihak Dutch Lady dalam melaksanakan program fasa pertama River Manangement River (RMS) di Sg Penchala yang melibatkan kerja-kerja pembersihan bersepadu dan pengumpulan data komposisi sampah.

  3. Apakah lagi aktiviti yang dijalankan oleh syarikat Landasan Lumayan?

    Misi utama bagi projek Selangor Maritime Gateway yang dilaksanakan oleh pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd adalah untuk mencipta peluang melalui potensi pembangunan lestari bagi tanah-tanah Kerajaan Negeri di sepanjang 56km jajaran Sungai Klang menerusi pembangunan kira-kira 24,000 rumah kediaman dan komersil yang mana 50% daripada kediaman adalah rumah mampu milik. Selain itu, pihak LLSB turut menjalankan aktiviti pembangunan infrastruktur sungai yang mendorong kepada pemuliharaan kualiti air melalui pembinaan tujuh (7) unit perangkap sampah, penggunaan The Interceptor dan pemasangan sistem kualiti air (“WQMS”) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sungai yang lebih efektif dan mampan.

Lampiran

Tiada Lampiran.