Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
198) PROJEK LANDASAN KERETAPI PANTAI TIMUR (ECRL)
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila beri maklum balas terkini tentang jajaran Projek Landasan Keretapi Pantai Timur, khususnya perbezaan antara jajaran yang pertama (sebelum 2018), kedua (2019) dan yang ketiga (2021) untuk Selangor.
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 km adalah merupakan projek rel yang akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Pembinaan projek ECRL ini dibahagikan kepada tiga (3) seksyen iaitu:-
(a) Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun;
(b) Seksyen B dari Dungun ke Mentakab; dan
(c) Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Gombak dan Serendah.
Untuk makluman Yang Berhormat, jajaran ECRL yang melibatkan Negeri Selangor adalah Seksyen C. Projek ini telah melalui tiga (3) fasa penelitian dan perubahan jajaran di Seksyen C iaitu pada tahun 2017, 2019 dan 2020.
1) Jajaran pertama (2017)
Keseluruhan jajaran pertama projek ECRL pada tahun 2017 adalah sepanjang 688 km merangkumi dua fasa iaitu Fasa 1 dan Fasa 2 serta mempunyai dua puluh dua (22) buah stesen termasuk empat (4) stesen masa hadapan. Jajaran ECRL Fasa 1 bermula dari Kota Bharu ke ITT Gombak manakala Fasa 2 melibatkan penyambungan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor dan Gombak ke Pelabuhan Klang.
Bagi negeri Selangor, keseluruhan jajaran pada masa ini adalah 94.1km yang melalui daerah Gombak (40.8km), Hulu Selangor (16.4km), Kuala Selangor (15.3km) dan Klang (21.6km).
Terdapat enam (6) stesen yang dikenalpasti di Selangor iaitu Gombak Utara (kargo), ITT Gombak (penumpang), Serendah Baru (penumpang & kargo), Puncak Alam (penumpang di masa hadapan), Kapar (penumpang di masa hadapan) dan Pelabuhan Klang (penumpang dan kargo). Stesen pertukaran (interchange station) rel juga terdapat di ITT Gombak iaitu dengan perkhidmatan Putra LRT manakala Serendah Baru dan Pelabuhan Klang dengan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Selain itu, pembinaan landasan tolok meter bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan dibina dari Serendah ke Pelabuhan Klang.
2) Jajaran kedua (2019)
Jajaran kedua projek ECRL pada tahun 2019 adalah sepanjang 640 km dan telah pecahkan kepada tiga (3) seksyen iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab) dan Seksyen
C (Mentakab-Pelabuhan Klang) merangkumi dua puluh (20) buah stesen termasuk satu (1) stesen masa hadapan.
Perbezaan utama di antara jajaran projek ECRL di negeri Selangor adalah perubahan jajaran bagi seksyen Mentakab ke Pelabuhan Klang yang tidak lagi melalui Gombak dan Serendah tetapi melalui Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Jenjarom (daerah Kuala Langat).
Keseluruhan jajaran pada tahun 2019 di negeri Selangor adalah 62.95km yang melalui daerah Hulu Langat (6.30km), Sepang (15.18km), Kuala Langat (15.77km) dan Klang (25.7km). Terdapat tiga (3) stesen yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor iaitu Pulau Carey (kargo), Rimbayu (penumpang) dan Selangor Business Capital (penumpang di masa hadapan).
Stesen pertukaran (interchange station) rel hanya terdapat di Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu dengan perkhidmatan Express Rail Link (ERL) dan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP). Jajaran 2019 ini juga hanya menghubungkan pelabuhan Westports di Pelabuhan Klang bagi pekhidmatan kargo projek ECRL.
3) Jajaran ketiga (2020)
Jajaran projek ECRL terkini iaitu pada tahun 2020 sepanjang 665 km menggunapakai tiga (3) seksyen yang sama pada tahun 2019 iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab) dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang) merangkumi dua puluh (20) buah stesen termasuk dua (2) stesen masa hadapan.
Jajaran projek ECRL pada tahun 2020 bagi Seksyen A dan Seksyen B adalah sama seperti jajaran projek ECRL pada tahun 2019 manakala bagi jajaran Seksyen C yang melibatkan Negeri Selangor, ianya telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
(a) Seksyen C1 dari Temerloh ke ITT Gombak (Mentakab – ITT Gombak); dan
(b) Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah (Gombak – Serendah – Pelabuhan Klang).
Panjang jajaran ECRL bagi Seksyen C1 iaitu dari Mentakab ke ITT Gombak ialah sepanjang 98.31 km termasuk 16.02 km jajaran di dalam negeri Selangor yang merangkumi tiga (3) buah stesen iaitu Temerloh dan Bentong di negeri Pahang dan ITT Gombak di negeri Selangor. Jajaran ECRL Seksyen C1 dari Mentakab ke ITT Gombak telah mendapat kelulusan muktamad Skim Kereta Api pada 11 Mei 2021 manakala kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar atau Environmental Impact Assessment (EIA) telah diperolehi pada 26 April 2018. Kajian Impak Warisan atau Heritage Impact Assessment (HIA) pula telah diluluskan pada 29 Mei 2017.
Bagi jajaran ECRL Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah pula adalah sepanjang 74.25 km merangkumi empat (4) buah stesen iaitu, Serendah Baru (penumpang & kargo), Puncak Alam (stesen penumpang masa hadapan), Kapar (stesen penumpang masa hadapan) dan Pelabuhan Klang (penumpang & kargo).
Keseluruhan jajaran pada tahun 2020 adalah 90.27km yang melalui daerah Gombak (36.42km), Hulu Selangor (17.36km), Kuala Selangor (15.52km) dan Klang (20.97km).
Stesen pertukaran (interchange station) rel juga terdapat di ITT Gombak iaitu dengan perkhidmatan Putra LRT manakala Serendah Baru dan Pelabuhan Klang dengan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Selain itu, pembinaan landasan tolok meter bagi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan dibina dari Serendah ke Pelabuhan Klang sama seperti pada tahun 2017 dengan penambahbaikan laluan KTMB sedia ada dari Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) ke Northport dan Westports bagi membolehkan perkhidmatan tren kargo ECRL sampai di kedua-dua pelabuhan tersebut.
Perbezaan bagi jajaran projek ECRL pada tahun 2020 dengan tahun 2019 adalah Seksyen C kembali menghubungkan Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Gombak dan Serendah iaitu jajaran sama pada tahun 2017. Beberapa perubahan serta pelan mitigasi kepada jajaran telah diambilkira serta dicadangkan bagi mengurangkan kesan impak sosial dan alam sekitar seperti:
- Permatang Kuarza Gombak;
- Empangan Batu di Gombak;
- Kampung Orang Asli Batu 12 di Gombak;
- Kawasan berpenduduk di Serendah;
- Kawasan Puncak Alam;
- Tapak Hospital Awam Kapar di Klang;
- Kampung tradisi di Klang; dan juga
- Kawasan tadahan air.
Berdasarkan kepada Perjanjian Tambahan Kontrak EPCC (Supplementary Agreement 5 – SA5), sehingga kini telah berlaku kelewatan terhadap jajaran di Selangor selama lebih kurang 20 bulan disebabkan jajaran di Selangor masih belum dimuktamadkan. Kelewatan ini perlu diatasi segera untuk mengelakkan tuntutan kontrak daripada pihak kontraktor kepada Kerajaan Persekutuan.
Sehingga bulan September 2021, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebanyak 24.55%. Pada masa ini, tarikh penyiapan bagi Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan Seksyen B dari Dungun ke Mentakab masih kekal seperti yang dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026. Walaubagaimanapun, penyiapan bagi Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Gombak dan Serendah dijangkakan akan mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu hanya dijangkakan siap pada 31 Disember 2027.