Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
182) PJD LINK
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini perbincangan dan kelulusan untuk pembinaan projek Petaling Jaya Dispersal Link?
Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung projek PJD Link telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 12 November 2021 (Jumaat) untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri secara bersyarat yang mana antara lain PJD Link (M) Sdn. Bhd. (PJDLSB) perlu memenuhi semua syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor di bawah syarat-syarat duluan Perjanjian Konsesi.
Kelulusan untuk pembinaan masih tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri Selangor dan akan menjadi salah satu daripada syarat-syarat duluan perjanjian konsesi PJD Link. Selepas perjanjian konsesi ditandatangani, dalam tempoh Conditions Precedent (CP) beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu seperti berikut:
- pengambilan tanah; dan
- syarat pematuhan di bawah Seksyen 20A Akta 172
Sekiranya PJDLSB gagal untuk memenuhi mana-mana syarat duluan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam perjanjian konsesi atau Kerajaan Negeri Selangor di bawah Seksyen 20A, Akta 172 maka perjanjian konsesi yang ditandatangani akan terbatal dan menjadi tidak sah (null and void).
Suka juga saya maklumkan di sini, bahawa Kerajaan Negeri Selangor melalui PLANMalaysia@Selangor (JPBD Selangor), telah merangka dan memperkemas prosedur kelulusan projek-projek lebuhraya dan projek-projek infrastruktur berskala besar bagi memastikan semua syarat dan terma yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri seperti laporan Environmental Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan Traffic Impact Assessment (TIA) dilaksanakan terlebih dahulu dan memenuhi kehendak Kerajaan Negeri melalui rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta 172 sebelum sesuatu projek dapat dimulakan (kick – off) di Selangor. Cadangan Penetapan Time Line Pengubahan Rancangan Pemajuan bagi Projek Pembangunan Lebuhraya di Negeri Selangor ini akan dibentangkan bagi kelulusan Kerajaan Negeri melalui MTES dalam masa terdekat.
-
Adakah MMKN telah membuat apa-apa keputusan berkenaan kenyataan media Pakatan Harapan Selangor pada 3hb September 2021 berkenaan projek PJD Link?
Semua keputusan MMKN adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1974. Oleh yang demikian, Unit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak dapat memaklumkan semua keputusan MMKN berhubung perkara ini kepada pengetahuan umum.