Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
177) PROGRAM PEMERIKSAAN MAMMOGRAM PERCUMA SELANGOR (MAMMOSEL)
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Setakat hari ini, berapa ramaikah wanita Selangor yang menikmati program MAMMOSEL sejak 2010?
Untuk makluman Yang Berhormat Permatang, bermula tahun 2010 sehingga kini, program MammoSel masih diteruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan catatan jumlah penerima manfaat seramai 53,364 orang yang telah menerima rawatan pemeriksaan mammogram secara percuma dengan pecahan mengikut bangsa seperti berikut :
Bil Bangsa Jumlah (orang)
1 Melayu 29,225 2 Cina 17,616 3 India 6,360 4 Lain-lain 163 Jumlah 53,364 -
Apakah kaedah program yang telah dilaksanakan?
Kaedah pelaksanaan program pemeriksaan mammogram percuma Selangor terkini yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) adalah melalui permohonan secara online menerusi laman sesawang https://skw.yawas.my.
Bagi pendaftaran permohonan yang berjaya, pihak hospital yang merupakan panel program ini akan menghubungi peserta untuk menetapkan tarikh temujanji pemeriksaan di hospital yang dipilih.
Buat masa ini sebanyak 12 buah hospital swasta beserta cawangan telah menjalinkan usahasama sebagai panel bagi program MammoSel.
-
Kenapakah tahap umur menyertai program ini dinaikkan dari 35 tahun ke 50 tahun?
Sebagai makluman semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, mengikut kajian daripada Malaysia Medical Association (MMA), golongan paling berisiko mendapat kanser payudara adalah di antara umur 50 tahun dan ke atas, manakala golongan berumur 35 hingga 50 tahun adalah mereka yang kurang berisiko. Golongan kurang berisiko ini pada kebiasaanya hanya akan mendapatkan pemeriksaan secara imbasan asas sahaja.
Oleh yang demikian, atas dapatan kajian tersebut dan agar program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang terkesan maka penambahbaikan syarat kelayakan iaitu dengan menaikkan tahap umur dari 35 tahun ke 50 telah dipersetujui Kerajaan Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 8/2020 bertarikh 4 Mac 2020 dan telah disahkan oleh MMKN ke 9/2020 bertarikh 11 Mac 2020.
Selain daripada itu, kaedah pemeriksaan juga telah ditambahbaik dengan menyediakan pemeriksaan biopsi yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor bernilai sehingga RM 2,500.00 seorang.