Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
176) PEWARTAAN SEMULA HUTAN SIMPANAN KUALA LANGAT UTARA
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prosedur dan timeline yang perlu diikuti untuk menyelesaikan keseluruhan proses pewartaan semula hutan simpanan ini?
Status terkini pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) adalah sedang dalam peringkat perincian lokasi yang benar-benar terlibat bagi pewartaan semula HSKLU seperti yang diputuskan oleh MMKN Ke-30/2021 pada 8 September 2021 yang telah disahkan oleh MMKN Ke-31/2021 pada 15 September 2021. Merujuk kepada keputusan MMKN tersebut, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor perlu membentangkan perincian bagi pewartaan semula HSKLU yang terlibat kepada Kerajaan Negeri Selangor di dalam MTES. Dijangkakan pembentangan ini akan diadakan pada Disember 2021.
Berdasarkan kepada keputusan MMKN yang sama juga, hanya seluas ±486.2 hektar (±1,201.42 ekar) daripada kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) telah diluluskan untuk diwartakan semula. Keluasan ini diperolehi setelah mengambil kira keputusan MMKN yang sama seperti di atas untuk meneruskan proses penyahwartaan HSKLU hanya seluas ±42 hektar (±103.91 ekar) bagi penyelesaian isu pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh semenjak 2006 dan jajaran laluan paip air mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas ±8.5 hektar (±21 ekar).
Prosedur yang perlu dipatuhi untuk melaksanakan proses pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini adalah berdasarkan Kaedah 8, Kaedah-Kaedah Hutan Selangor 1988 iaitu Prosedur bagi mewujudkan hutan-hutan simpanan kekal. Berdasarkan Kaedah 8 tersebut, tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikan keseluruhan proses pewartaan semula HSKLU ini adalah sekurang-kurangnya 120 hari.