Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

172) GERAI-GERAI MAJLIS BANDARAYA ( MBPJ DAN MBSA )

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar kerajaan dalam pembangunan gerai-gerai tersebut ?

    MBSA

    Bagi kawasan MBSA keperluan gerai akan ditentukan berdasarkan kepada komponen dan jenis pembangunan yang dicadangkan dan pembinaan gerai hendaklah berdasarkan Manual Garis panduan & Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi Ketiga yang diluluskan pemakaiannya oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 35/2016 bertarikh 19hb Oktober 2016 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 36/2016 bertarikh 26hb Oktober 2016 yang juga telah diterima pakai oleh di dalam Mesyuarat Penuh MBSA Bil 1/2017 bertarikh 25 Januari 2017. Pembangunan gerai-gerai tersebut hendaklah mengambil kira lokasi perletakan gerai dan ianya juga diambilkira dalam setiap perancangan contohnya ditempatkan di kawasan yang strategik dan tidak berdekatan dengan jalan-jalan utama yang arah aliran lalu lintas yang sibuk.

     

    Majlis Bandaraya Shah Alam juga telah mensyaratkan bagi pembangunan selepas tahun 2000 bahawa semua tapak-tapak yang dikhaskan untuk pembangunan gerai ini dibina dan diserahkan kepada Majlis untuk diuruskan melalui proses penyewaan berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

     

    MBPJ

    Dalam menjamin pembangunan gerai ada beberapa pendekatan yang dilaksanakan iaitu :

    1. Pihak pemaju perlu menyediakan kemudahan gerai/ medan selera/ kiosk sebanyak 2 peratus daripada keluasan lantai bersih bagi skim pembangunan perniagaan ( Pusat membeli-belah ).
    2. Pembangunan gerai-gerai baru di tapak yang telah diserahkan oleh pihak pemaju, penggunaan peruntukan dengan bajet pembangunan oleh majlis dari masa ke semasa.
  2. Apakah usaha kerajaan untuk memastikan bahawa gerai-gerai sedia ada boleh di gunakan mengikut kesesuaian semasa ?

    MBSA

    Untuk makluman, pihak Majlis sentiasa memastikan gerai-gerai sedia ada dapat mencapai kehendak pemegang taruh dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Sehubungan itu, pihak MBSA telah membina beberapa gerai di dalam kawasan pentadbiran Majlis yang bersesuaian mengikut citarasa dan keadaan semasa penduduk setempat. Antara gerai-gerai yang baru dibina oleh pihak MBSA adalah di Seksyen 25, Seksyen U10 dan Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

     

    Gerai sedia ada sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa terutamanya berkaitan daripada sturktur binaan supaya dapat memberikan keselesaan kepada pengguna.

     

    MBPJ

    Pihak Majlis mengamalkan penyelenggaraan berkala bagi memastikan gerai-gerai boleh digunakan mengikut keadaan semasa dengan perlantikan kontraktor penyelenggaraan tahunan.

Lampiran

Tiada Lampiran.