Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

158) SUMBER EKONOMI DAN PENDAPATAN BARU

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha strategik Kerajaan Negeri untuk meneroka sumber ekonomi dan pendapatan baru bagi menjamin kelestarian ekonomi ?

    Seiring dengan kemajuan industri berteknologi tinggi, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi melalui pelaburan berimpak tinggi. Sebagai negeri penyumbang KDNK terbesar negara, Selangor berdaya tahan dalam menghadapi cabaran COVID-19. Dengan peralihan kuasa geo-politik dan megatrends seperti kebangkitan ekonomi China dan respon US, Climate Change & Net Zero Goals dan transformasi digital, Selangor boleh mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kelebihan yang ada dan menangani perkara-perkara yang membimbangkan.

    Selain menambah baik sektor ekonomi sedia ada, fokus terhadap Sektor Baru Muncul (New Emerging Sectors) seperti Life Sciences dan Agri-Tech turut diberi penekanan bagi membantu melestarikan ekonomi Selangor. Kerajaan Negeri Selangor amat komited untuk membina ekonomi digital dan ekosistem dengan aspirasi untuk menjadi Negeri Pintar yang boleh didiami, dan proses ini dipercepatkan lagi dengan pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan peralihan kepada norma kerja baharu dan mempercepatkan pertumbuhan dalam aktiviti e-dagang. Tumpuan digital juga akan memainkan peranan pemboleh utama untuk meningkatkan produktiviti merentas sektor lain yang dikenal pasti.

    Bagi mempromosikan peluang-peluang pelaburan yang tersedia dan menarik masuk pelaburan ke negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa strategi antaranya:

    i) Kerajaan melalui SIDEC akan membangunkan Industri Teknologi Pertanian Negeri, melalui Program Pemecut Selangor (SAP) Selangor Accelerated Program. Tumpuan baharu pada bidang ini adalah kunci kepada pemulihan ekonomi tempatan melalui transformasi digital, peningkatan penggunaan teknologi dalam perniagaan dan peningkatan keselamatan makanan;

    ii) Penjenamaan dan mempromosikan kawasan-kawasan perindustrian yang berpotensi melalui media cetak atau elektronik;

    iii) Pengemaskinian dan penyediaan buku panduan pelaburan yang komprehensif dan mudah untuk dijadikan bahan rujukan para pelabur;

    iv) Membantu pihak industri menyelesaikan isu-isu berbangkit berkaitan pelaburan melalui Mesyuarat Penyelarasan Projek yang diadakan setiap bulan;

    v) Menyediakan pelan perancangan strategik sektor perindustrian;

    vi) Meningkatkan usaha promosi di luar negara seperti program lawatan pengalakkan pelaburan;

    vii) Mewujudkan jaringan hubungan / networking dengan agensi-agensi yang berkaitan (agensi kerajaan, kedutaan, dewan-dewan perniagaan dalam dan luar negara);

    viii) Mewujudkan rakan hubungan strategik dengan agensi-agensi yang berkaitan; dan

    ix) Menggalakkan pembukaan kawasan-kawasan perindustrian baru dengan penglibatan anak syarikat Kerajaan Negeri dan pemaju swasta yang berkonsepkan Managed Industrial Park.

    Kerajaan Negeri juga sentiasa meneroka pendapatan baharu dari semasa ke semasa berdasarkan elemen sumber hasil yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri di bawah kuasa yang diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan khususnya hasil tanah, lombong, hutan, duti hiburan, sewa, bayaran fi dan bayaran perkhidmatan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri.

    Bagi memastikan setiap Pejabat Pemungut Hasil mengoptimumkan usaha mengutip hasil sedia ada dan meneroka hasil baharu, terdapat dua jawatankuasa yang diwujudkan iaitu :

    i) Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri yang membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien di samping memberi pulangan faedah yang optimum; dan

    ii) Jawatankuasa Mengkaji Hasil Negeri Selangor yang membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti cadangan hasil baharu di samping memantau usaha mengutip hasil sedia ada secara maksimum, menyemak semula undang-undang dan peraturan bagi mengelakkan kehilangan hasil.

    Di antara dasar-dasar baharu Hasil Kerajaan Negeri yang telah dirancang atau pun diperingkat semakan berkaitan undang-undang adalah seperti berikut:

    i) Permit Khas sebagai kebenaran penggunaan sementara tanah pertanian yang digunakan selain tujuan pertanian (Perniagaan / Industri Ringan) di Negeri Selangor selaras dengan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 3 Tahun 2020;

    ii) Cadangan kadar baru Fi Pejabat bagi urusan pendaftaran Pindah Milik Tanah / Petak melalui pindaan Kaedah-Kaedah Tanah Selangor;

    iii) Cadangan Pajakan Tapak Menara dan Struktur Telekomunikasi di atas Tanah Rizab (Pekeliling PTGS Bil 2/2021);

    iv) Cadangan Pemberimilikan Tanah Talian Rentis kepada TNB oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor;

    v) Mengenakan caj fi bagi pengeluaran kayu getah dan palma (kelapa/kelapa sawit) di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) dan selaras dengan keputusan Majlis Perhutanan Negara Ke-71;

    vi) Pengenaan Permit Penggunaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor bagi Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Permit Penggunaan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi Projek Perhutanan Tani di Hutan Simpanan Kekal Kuala Langat Selatan;

    vii) Pengenaan Lesen Khas ke atas Kilang Berasaskan Kayu yang di pantau oleh Jabatan Perhutanan Negeri. Pada masa ini, kilang terlibat tidak lagi membuat bayaran lesen sementara tetapi masih beroperasi. Pengenaan Lesen Khas juga perlu termasuk kilang tanpa lesen yang bukan dalam program pemutihan terdahulu;

    viii) Cadangan menambaik baik kaedah pajakan kepada pengusaha di atas tapak program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor;

    ix) Mengenakan permit Access Benefit Sharing (ABS) iaitu permit bagi sumber biodiversity yang dikomersialkan bagi tujuan penyelidikan, perubatan dan kosmetik selaras dengan Akta Akses Kepada Sumber Biologi Dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795). Pelaksanaan Access Benefit Sharing bertujuan untuk memastikan sumber hasil biodiversity yang dikomersialkan dapat dipantau dan dikongsikan. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri akan memproses permohonan permit dan mengenakan bayaran bagi setiap permohonan yang diluluskan;

    x) Merangka pelaksanaan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (akuakultur) oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor. Apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj-caj tertentu di mana pada ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan sebarang caj. Selain daripada itu juga, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik; dan

    xi) Melaksanakan semakan semula kadar caj perkhidmatan veterinar ke atas Kaedah-Kaedah Pusat Veterinar (Pindaan) 2007 oleh Jabatan Veterinar Negeri Selangor kerana terdapat pertambahan perkhidmatan dan kadar bayaran yang dikenakan ketika ini adalah berdasarkan kadar lama yang melebihi 10 tahun.

    Ahli-ahli Y.B., adalah menjadi hasrat bagi Kerajaan untuk terus berusaha bagi menyuburkan ekonomi negeri Selangor seterusnya mengagihkan kekayaan daripada hasil kutipan Negeri kepada rakyat secara adil dan saksama. Sudah tentu perancangan ke arah itu akan memerlukan strategi dan komitmen berterusan daripada pelbagai pihak terutamanya pemimpin-pemimpin masyarakat dan jentera Kerajaan. Rakyat yang berkembang kebolehannya akan menjadikan Selangor sebagai negeri yang kekal progresif dan produktif.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.