Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

154) PROGRAM SELVAX

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah penerima vaksin percuma daripada program SelVAX?

    Bagi meningkatkan usaha imunisasi warga Selangor, pengenalan Program Vaksin Selangor (SelVAX) merupakan langkah yang tepat diambil oleh Kerajaan Negeri. Pelaksanaan SelVAX yang membantu mempercepat kadar imunisasi telah membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dengan norma baharu. Melalui SelVAX, Kerajaan Negeri menyasarkan pemberian vaksin kepada 250,000 individu atau 500,000 dos melalui Program SelVAX Komuniti. Sehingga 8 November 2021, seramai 332, 623 dos atau 166,311 penerima telah menerima manfaat vaksin secara percuma dibawah program SelVAX Komuniti, dan 1,336 dos atau 668 penerima dibawah SelVAX Remaja

  2. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah penerima vaksin percuma?

    Objektif utama pelaksanaan program Vaksin Selangor (SelVAX) adalah bagi memastikan kadar imunisasi rakyat Selangor dapat dipercepatkan tanpa mengira latar belakang bangsa, agama mahupun fahaman politik. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri sentiasa mempunyai perancangan bagi menambah bilangan penerima vaksin di bawah program SelVAX, tertakluk kepada jumlah ketersediaan vaksin dan situasi semasa kewangan Kerajaan Negeri.

  3. Berapa bilangan vaksin yang telah dibeli oleh Kerajaan Negeri yang masih belum selesai dijual?

    Kerajaan Negeri telah menempah sebanyak 500,000 dos di bawah SelVAX Komuniti dan mensasarkan sebanyak 750,000 dos di bawah SelVAX Industri. Sehingga 1 November 2021, terdapat baki sebanyak 537,045 dos vaksin di bawah Selvax Industri (komersil).

Lampiran

Tiada Lampiran.