Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
128) PROGRAM LATIHAN ANAK ISTIMEWA (TRAINING OF TRAINERS)
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri akan menggunakan bakat yang terlahir melalui program "Training of Trainers"?
Untuk makluman Yang Berhormat Bandar Utama, pada tahun 2021, kerjasama pintar telah dijalankan di antara Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bersama Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan, Malaysia (PPKK) untuk pelaksanaan Program ‘Training of Trainers’ (ToT) Pendidikan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS). Peserta Program ToT ini adalah terdiri daripada :
- Mahasiswa yang sedang menuntut di tahun akhir (selain pendidikan khas);
- Graduan pendidikan (selain pendidikan khas);
- Pendidik di institusi pendidikan awal seperti tadika dan taska; dan
- Sukarelawan dalam kalangan komuniti.
Secara khususnya, latihan ini bertujuan untuk mendedahkan para peserta tentang perkembangan terkini bidang pendidikan khas dalam dan luar negara, pendidikan inklusif, ciri-ciri murid berkeperluan khas, cara pengenalpastian, intervensi awal dan strategi pengajaran dan pembelajaran berkesan untuk murid berkeperluan khas.
Kerajaan Negeri akan menggunakan bakat yang terlahir melalui program “Training of Trainers” ini dalam menyediakan peserta/ pengajar/ fasilitator yang mampu untuk :
- Menyampaikan maklumat dengan berkesan;
- Menjawab persoalan dan menjadi panduan dan rujukan berkenaan anak istimewa dari institusi, komuniti atau persatuan yang diwakili; dan
- Memimpin ibu bapa dan pendidik hal-hal berkenaan pengurusan dan pembelajaran anak istimewa.
Dengan adanya kumpulan ToT ini, program-program yang melibatkan orang ramai khususnya golongan anak istimewa dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Selain itu, kumpulan ToT ini juga akan dilibatkan sebagai fasilitator untuk aktiviti kumpulan sokongan (support group) untuk ibu bapa anak istimewa dan membimbing para pendidik di tadika dan taska arus perdana yang menerima pelajar dengan keperluan khas ini.
-
Adakah Kerajaan Negeri memperuntukan Pusat OKU khas yang mampu menyokong Program Pendidikan Khas Integrasi di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri pada tahun 2021 telah menerima peruntukan bagi membina sebuah Pusat OKU yang mampu menyokong Program Pendidikan Khas Integrasi di Negeri Selangor yang dinamakan sebagai Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat ANIS) yang terletak di Tingkat Bawah, IDCC Convention Centre, Seksyen 15, Shah Alam.
Penubuhan Pusat ANIS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam memberikan perkhidmatan intervensi awal (Early Intervention Programme) dan sokongan pendidikan kepada golongan Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang mensasarkan anak OKU berumur 2 hingga 6 tahun yang telah disahkan oleh pegawai perubatan mempunyai diagnosis seperti berikut:
- Autism Spectrum Disorder;
- Attention Deficit Hyperactive Disorder;
- Global Developmental Delay; dan
- Down Syndrome.
Pusat ANIS ini merupakan sebuah kerjasama antara Kerajaan Negeri Selangor melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Pusat Genius Kurnia. Kerjasama yang dimeterai adalah dalam bentuk :
- Memudah cara pelaksanaan Pusat ANIS melalui Jawatankuasa Kerjasama Luar Pusat Genius Kurnia;
- Memantau pemakaian modul-modul Genius Kurnia di Pusat ANIS dipatuhi mengikut piawai yang ditetapkan; dan
- Memberi khidmat kepakaran dan runding cara mengikut tempoh kerjasama selama dua (2) tahun. Berikut merupakan senarai jenis khidmat dan kepakaran yang akan diberikan:
- Pusat Genius Kurnia menjadi pusat rujukan bagi Pusat ANIS;
- Penggunaan modul dan kurikulum Genius Kurnia secara bersasar;
- Khidmat nasihat dan latihan (on-site training) bagi kakitangan Pusat ANIS yang melibatkan Pegawai Intervensi, Juruterapi Cara Kerja dan Pertuturan serta Pembantu Guru;
- Khidmat runding cara dokumentasi dan rekod menyeluruh berkaitan operasi dan proses intervensi murid; dan
- Khidmat kaunseling oleh Pegawai Psikologi luar yang bekerjasama dengan Genius Kurnia kepada kakitangan dan ibu bapa yang memerlukan.
Pusat ANIS secara rasminya telah mula beroperasi pada September 2021. Sehingga November 2021, Pusat ANIS telah menerima pelajar secara berperingkat dan sebanyak 26 pelajar telah didaftarkan dan sedang menerima perkhidmatan EIP. Pusat ANIS mensasarkan sebanyak 60 pelajar yang akan mengikuti sesi terapi secara mingguan selama satu (1) tahun. Di dalam pelaksanaan program intervensi awal ini, Pusat ANIS telah menyediakan seramai lima (5) orang Guru Pendidkan Khas, satu (1) orang Jurupulih Carakerja dan tiga (3) orang Pembantu Guru.
Kaedah pelaksanaan intervensi yang dijalankan adalah melalui dua (2) kaedah iaitu one-to-one dan group therapy. Setiap pelajar yang hadir perlu diiringi bersama dengan ibu atau bapa pelajar sepanjang sesi intervensi dijalankan dengan setiap sesi mengambil masa selama dua (2) jam sekali dalam seminggu. Objektif penglibatan ibu atau bapa semasa sesi intervensi ini adalah bertujuan untuk memindahkan maklumat/ ilmu kepada ibu bapa untuk menjalankan intervensi semasa berada di rumah.