Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
110) PERUBATAN PERCUMA WARGA EMAS
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah statistik terkini pemberian khidmat perubatan percuma kepada warga emas?
Golongan warga emas merupakan kumpulan yang penting dalam pembinaan sesebuah komuniti yang aman, makmur dan harmoni. Golongan ini juga berperanan dalam pembentukan jati diri dan sahsiah kepada golongan muda dan belia. Menyedari hakikat ini, setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pasti akan mengambilkira aspek golongan warga emas. Walau bagaimanapun, daripada aspek bantuan berbentuk perubatan, tiada bantuan atau inisiatif yang khusus bagi golongan warga emas. Kebanyakan bantuan yang ditawarkan adalah meliputi pelbagai lapisan masyarakat, bangsa, agama mahupun peringkat umur. Bantuan seperti Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS), Bantuan Sihat Selangor (BSS) dan Rawatan Tibi adalah terbuka kepada semua rakyat yang berkelayakan dan menepati syarat yang telah ditetapkan, termasuklah daripada golongan warga emas.
-
Berapakah jumlah warga emas yang telah menerima perkhidmatan ini dan apakah pelan tindakan Kerajaan Negeri bagi memastikan pemberian perubatan percuma ini dapat diperluaskan dan ditambah baik?
Sehingga 31 Oktober 2021, statistik jumlah penerima warga emas yang telah menerima manfaat daripada program Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) adalah seramai 34,954 orang, menjadikan golongan ini sebagai penerima majoriti bagi program SIPS iaitu sebanyak 49.85 peratus. Sememangnya Kerajaan Negeri telah menyediakan perkhidmatan kesihatan secara percuma, namun bukan semua warga emas menerima manfaat ini. Jika ingin memastikan semua golongan ini menerima manfaat percuma, ia turut bergantung kepada kemampuan kewangan semasa Kerajaan Negeri.