Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

105) PENJUALAN LOT-LOT LIDI

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyakkah penjualan lot-lot lidi di Meru sejak 10 tahun lepas di Meru?

    Semua urusan urusniaga hartanah di Mukim Klang ini hendaklah didaftarkan di Pejabat Daerah dan Tanah Klang. Sekiranya aktiviti penjualan tanah-tanah hakmilik yang dipecah bahagian (lot-lot lidi) dan dijual kepada pembeli-pembeli ini mengikut prosedur dan Kanun Tanah Negara, urusan ini adalah sah dan akan didaftarkan di dalam Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB). Manakala, bagi penjualan lot-lot lidi yang masih berstatus tanah pertanian, urusan ini tidak boleh didaftarkan di dalam Sistem SPTB dan penjualannya adalah di luar bidang kuasa pejabat ini. Oleh yang demikian, data atau maklumat mengenai jumlah penjualan lot-lot lidi yang tidak sah ini tidak dapat dikemukakan kepada Dewan yang mulia ini.

    Keputusan Mesyuarat Pengarah Tanah Dan Galian Selangor Bersama Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah Negeri Selangor Bilangan 3 Tahun 2018 telah memutuskan bahawa bersetuju untuk menolak permohonan Pendaftaran Surat Ikatan Amanah bagi lot-lot tanah pertanian (lot lidi) atas semua sebab. Ini bagi mengelakkan penjualan lot-lot lidi terutamanya di Daerah Klang.

  2. Adakah pihak Kerajaan Negeri mempunyai hasrat untuk menghalang penjualan lot lidi oleh pemilik tanah dan tindakan untuk membendung aktiviti penjulan lot-lot lidi?

    Pihak Kerajaan Negeri tidak pernah mengiktiraf penjualan dan pemilikan tanah lot lidi di negeri Selangor. Ini adalah kerana penjualan tanah lot lidi jelas melanggar syarat nyata tanah itu sendiri di mana tanah-tanah lot lidi yang dijual adalah bersyarat nyata “Pertanian” yang tidak dipohon ditukar syarat atau pecah sempadan di Pejabat Tanah dan Daerah.

    Bagi membendung aktiviti penjualan lot lidi ini secara berleluasa tanpa mengikut syarat-syarat pembangunan dan pendaftaran hakmilik yang dibenarkan di mana akan memberi kesan langsung kepada pembeli, Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (MPPTDPBTNS) Bil. 1/2018 yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Julai 2018 telah bersetuju untuk menolak semua permohonan Pendaftaran Surat

    Ikatan Amanah atas semua sebab bagi kesemua lot-lot kecil tanah pertanian di negeri Selangor. Penolakan ini masih terpakai di semua Pejabat Tanah Daerah dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor sehingga satu dasar berkaitan dirangka dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

    Walau bagaimanapun, tiada sebarang halangan untuk mendaftarkan Surat Ikatan Amanah ini bagi kategori selain tanah pertanian. Selain itu, juga Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah turut melaksanakan pelbagai sesi hebahan dan pemakluman kepada orang ramai berkaitan risiko pembelian tanah secara lot lidi yang tidak diiktiraf ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.