Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
92) PROGRAM PEMUTIHAN KILANG TANPA IZIN
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan Jumlah Hasil yang telah diterima dalam program ini mulai tahun 2005 sehingga 2021.
Untuk makluman Yang Berhormat, kutipan hasil daripada Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu bayaran Premium Tambahan dan bayaran Permit Khas yang dikeluarkan.
Dalam konteks KTK, Premium Tambahan bermaksud kadar nilai yang perlu diselesaikan atau dibayar oleh pemilik tanah yang telah berjaya memperoleh kelulusan pertukaran syarat tanah daripada pertanian kepada industri. Permit Khas pula merupakan kadar nilai yang perlu diselesaikan atau dibayar oleh pemilik tanah sekiranya permohonan tukar syarat tanah tidak berjaya atau tidak diluluskan.
Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Bilangan 2/2019 menetapkan bahawa penggunaan Permit Khas ini hanya boleh diberikan oleh Pentadbir Tanah tidak melebihi tempoh satu (1) tahun daripada tarikh endorsan ke atas hakmilik dibuat. Permit Khas ini juga boleh diperbaharui sebanyak tiga (3) kali sahaja selaras dengan Pekeliling PTGS Bilangan 2/2007 iaitu berkenaan dengan Tatacara Pemakaian Pekeliling KPTG Bil 1/2003 ke atas Kilang-kilang Tanpa Kebenaran Yang Terlibat Dengan Program Pemutihan Kilang-Kilang Tanpa Kebenaran Di Negeri Selangor. Hal ini adalah bagi memberikan peluang dan ruang kepada pemilik tanah atau pengusaha kilang untuk berpindah ke tempat lain atau memulihkan semula keadaan tanah tersebut.
Walaupun Program Pemutihan KTK secara asasnya mula dilaksanakan sejak tahun 2006, kutipan hasil berkaitan program ini hanya mula dinikmati oleh Kerajaan Negeri Selangor mulai tahun 2020. Setakat Oktober 2021, jumlah keseluruhan kutipan hasil yang telah berjaya diperoleh daripada program ini adalah sebanyak RM71,640,926.00 – iaitu merangkumi RM71,330,943.00 bagi Premium Tambahan dan RM309,983.00 bagi Permit Khas. Berdasarkan rekod, Daerah Hulu Langat mencatatkan jumlah hasil kutipan yang tertinggi iaitu sebanyak RM18,459,814.30 bagi 29 buah permohonan yang telah diluluskan, manakala hasil kutipan terendah atau tiada kutipan adalah di Daerah Sabak Bernam.
-
Adakah Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini?
Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, seperti yang pernah dimaklumkan kepada Sidang Dewan sebelum ini, Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) telah bermula dari tahun 2006 dan telah disambung sebanyak tujuh (7) kali iaitu mulai daripada 26 Jun 2006 sehingga 31 Disember 2020.
Sehubungan itu, Pihak Kerajaan Negeri berpandangan bahawa program ini tidak perlu diteruskan, sebaliknya tindakan penguatkuasaan yang berkaitan sangat penting untuk dilaksanakan bagi memastikan pemilik-pemilik tanah atau kilang yang berada dalam senarai inventori membuat permohonan untuk menukar syarat tanah bagi tujuan industri. Ketiadaan atau kekurangan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan terhadap pemilik-pemilik tanah atau kilang yang ingkar serta gagal mematuhi syarat-syarat nyata tanah yang ditetapkan, akan mengakibatkan kesalahan pelanggaran syarat tanah terus berleluasa dan ketirisan hasil negeri semakin merosot.
Dengan adanya tindakan penguatkuasaan yang lebih cekap dan berkesan, pemilik tanah atau pengusaha kilang akan membuat permohonan tukar syarat daripada pertanian kepada industri, sekaligus dapat meningkatkan jumlah kutipan hasil negeri. Sekiranya pemilik tanah atau kilang gagal untuk mengemukakan permohonan, tanah tersebut hendaklah dipulihkan semula mengikut syarat yang telah ditetapkan dalam dokumen hakmilik tanah. Tindakan-tindakan penguatkuasaan ini juga adalah selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bilangan 2/2019 yang telah dikeluarkan.