Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
91) PORTFOLIO PEMODENAN PERTANIAN
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapakah kenaikan harga racun dan baja meningkat melebihi 100% dari harga asal?
Kerajaan Negeri menyedari mengenai kenaikan harga racun dan baja yang memberi kesan kepada sektor pertanian di negeri ini. Kenaikan harga bahan itu didapati meningkat antara 25 hingga 40 peratus sejak kebelakangan ini. Beberapa faktor dikenalpasti antaranya :-
- Kekurangan bahan mentah seperti unsur nitrogen, phospate dan kalium yang diimport dari luar negara serta kenaikan kos bahan mentah.
- Perubahan polisi negara pengeksport input pertanian
- Gangguan logistik dalam tempoh pandemik, serta
- Bekalan baja dan racun dalam pasaran yang berkurangan , sedangkan permintaanya yang berterusan.
Berikutan dengan situasi tersebut, peningkatan kos berlaku disepanjang rantaian pembekalan produk baja dan racun dan menyebabkan harga barang input meningkat.
-
Apakah langkah kerajaan dalam membantu petani dan pesawah dengan kenaikan harga racun dan baja?
Kerajaan negeri mengambil maklum berkenaan situasi ini dan di bawah Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM14.5 juta selama untuk tempoh 5 tahun RMK12 melalui Program Pembangunan Tanaman Padi , Jabatan Pertanian.
Program ini bertujuan mengurangkan impak kenaikan harga input kepada pesawah serta merancang aktiviti kearah peningkatan hasil padi. Pada tahun 2021, sebanyak RM 2.9 Juta telah diperuntukkan untuk pembangunan projek padi di Negeri Selangor dan peruntukkan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada memberi manfaat kepada 5,000 orang pesawah di kawasan Barat Laut Selangor yang terlibat dengan program Pembangunan Tanaman Padi tahun ini.
Di peringkat Kerajaan Persekutuan pula, Kementerian Pertanian Industri dan Makanan (MAFI) akan memantau kenaikan harga baja dan racun yang membebankan para petani dan pekebun kecil di seluruh negara ketika ini.
Pihak MAFI pada ketika ini sedang menggerakkan satu “Taskforce” bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan untuk mengambil tindakan yang perlu bagi membantu para petani menghadapi kenaikan harga baja dan racun.