Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

87) PROGRAM BLUEPRINT SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan penerima bantuan blueprint yang diluluskan sehingga setakat ini? Perincikan mengikut DUN.

    Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah program bantuan yang dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Malah, Pejabat Daerah/ Tanah juga berperanan membuat perolehan bagi pembelian peralatan atau mesin. Sehubungan dengan itu, tiada perincian data penerima mengikut ADUN kerana program ini adalah berdasarkan jumlah permohonan yang diterima oleh setiap Pejabat Daerah/ Tanah. Namun yang demikian, Jawatankuasa Pembangunan Sosio Ekonomi tiada halangan untuk berkongsi data penerima bantuan seperti nama, alamat, jenis perniagaan dan peralatan atau mesin yang diterima kepada ADUN yang memerlukan maklumat tersebut.

    Berdasarkan rekod dari tahun 2016 sehingga tahun 2021, jumlah keseluruhan penerima manfaat bagi program ini adalah seramai 2,642 orang dengan jumlah peruntukan keseluruhan yang telah dibelanjakan sebanyak RM10,013,800 (Sepuluh Juta, Tiga Belas Ribu, Lapan Ratus Ringgit). Bagi daerah Kuala Selangor, seramai 202 orang telah berjaya menerima bantuan peralatan dan mesin dengan peruntukan sebanyak RM796,150.00.

  2. Apakah kriteria dan kelulusan permohonan blueprint?

    Antara kriteria untuk kelulusan bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah seperti berikut :-

    i) Pemohon mestilah berumur 25 tahun dan ke atas;

    ii) Golongan individu yang berpendapatan di bawah RM2,000.00 sebulan ATAU pendapatan keseluruhan seisi rumah di bawah RM3,000.00 sebulan;

    iii) Pemohon merupakan anak Negeri Selangor; ATAU

    iv) Pemohon merupakan pengundi berdaftar di dalam Negeri Selangor dan bermastautin melebihi sepuluh (10) tahun;

    v) Perniagaan pemohon mestilah dijalankan di dalam Negeri Selangor dan telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) Tahun;

    vi) Peniagaan mestilah aktif/ konsisten dan tidak bersifat bermusim;

    vii) Pemohon ATAU suami/ isteri pemohon tidak pernah menerima bantuan peralatan di bawah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor;

    viii) Pemohon tidak mempunyai sebarang pekerjaan lain yang berpendapatan tetap; dan

    iv) Perniagaan pemohon perlu mempunyai premis atau lokasi perniagaan yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

  3. Adakah kerajaan negeri mengadakan pemantauan kepada penerima bantuan blueprint?

    Kerajaan Negeri melalui Seksyen Sektoral, UPEN dan Pejabat Daerah/ Tanah mengadakan pemantauan berkala iaitu dua (2) tahun sekali bagi mengenal pasti serta mendapatkan maklumat terkini berhubung tahap penggunaan mesin, kadar pengeluaran hasil produk, impak bantuan peralatan terhadap jumlah pendapatan penerima bantuan dan lain-lain dengan menggunakan borang soal selidik serta lawatan turun padang ke rumah atau premis penerima bantuan. Untuk tahun 2018 dan 2019, pemantauan tersebut akan dilaksanakan pada tahun 2022 memandangkan pada 2 tahun kebelakangan ini kita di dalam situasi pandemik yang tidak membenarkan aktiviti pemantauan diadakan.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.