Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
83) PELUPUSAN SAMPAH DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan jumlah dan jenis projek pelupusan sisa pepejal di Selangor yang bukan berlandas tapak pelupusan "landfill"?
Soalan (a), (b), & (c) dijawab bersekali :
Pada masa ini, semua sisa pepejal di Negeri Selangor dilupuskan dengan menggunakan kaedah pelupusan secara tapak pelupusan (landfill) sanitari. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri perlu menyediakan anggaran tanah seluas 900 ekar untuk tujuan pelupusan sisa pepejal selama 30 tahun.
Keadaan ini perlu ditangani segera melalui penggunaan teknologi berikutan Negeri Selangor kekurangan tanah yang sesuai untuk dibangunkan sebagai tapak pelupusan sanitari baharu. Ditambah pula dengan faktor peningkatan penghasilan sisa pepejal di Negeri Selangor yang dianggarkan sebanyak 3% setiap dua (2) tahun yang disebabkan pertambahan penduduk serta pembangunan yang semakin pesat.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri pernah menerokai beberapa kaedah pelupusan lain melalui syarikat swasta. Pertama adalah projek loji Refuse Derived Fuel (RDF) di Kajang pada tahun 2012. Walau bagaimanapun, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor mendapati operasi loji RDF gagal mematuhi syarat-syarat kelulusan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Kedua adalah projek pelupusan dikenali sebagai Konsep Pembangunan Industri Sumber Hijau. Projek ini dilaksanakan untuk tempoh lima (5) bulan juga di kawasan Kajang. Hasil dari projek tersebut, diperhatikan bahawa objektif projek untuk meminimumkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan gagal dicapai dan pemprosesan di kawasan “composting” telah menyumbang kepada kehadiran seperti lalat dan lipas yang boleh mendatangkan kacau ganggu kepada persekitaran.
Oleh yang demikian, mengambil kira semua faktor, Kerajaan Negeri telah memutuskan kaedah pelupusan menggunakan teknologi Waste to Energy adalah kaedah pelupusan yang berdaya saing dan memberi kesan jangka masa panjang yang mampan dalam menangani isu pelupusan sampah.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri pada 2016 telah bersetuju supaya Worldwide Holdings Berhad menerajui usaha untuk membangunkan pusat pelupusan WTE dan melaksanakan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) di Jeram, Kuala Selangor dengan kapasiti pelupusan sebanyak 3000 tan sehari. Pada tahun 2020 pula, Kerajaan Negeri telah bersetuju agar ISWMC yang kedua dibangunkan oleh Worldwide Holdings Berhad di Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dengan kapasiti pelupusan sebanyak 2000 tan sehari.
Maklumat tambahan
- Pihak WHB hanya melaksanakan pelupusan sisa pepejal berlandaskan tapak pelupusan sisa pepejal sahaja.
- Melalui projek pembangunan loji “Waste to Energy” di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dan aktiviti kitar semula yang akan menggunakan teknologi yang mesra alam, rendah pelepasan gas rumah hijau dan tidak lagi memerlukan kawasan tanah untuk tapak pelupusan “landfill’ yang akan menjamin penjagaan alam sekitar yang lebih baik dan selamat.
-
Berapakah jumlah sisa pepejal yang dapat dilupuskan melalui tapak/projek alternatif tersebut?
Jawapan adalah sama seperti di (a)
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan sistem pelupusan sampah yang mesra alam?
Jawapan adalah sama seperti di (a)