Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

77) JOM SHOPPING PERAYAAN ( JSP ) DUN N39 KOTA DAMANSARA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Jumlah sebenar penerima JSP untuk tahun 2018/2019/2020/2021 ?

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Ianya merupakan program bantuan bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih.

    Berhubung dengan pertanyaan daripada Yang Berhormat Kota Damansara berkenaan jumlah sebenar penerima JSP untuk tahun 2018/2019/2020/2021, berdasarkan rekod sebanyak RM32,268,100.00 (Tiga Puluh Dua Juta, Dua Ratus Enam Puluh Lapan Ribu, Satu Ratus Ringgit) telah dibelanjakan bersamaan dengan 322,681 orang penerima manfaat bagi ketiga-tiga perayaan.

  2. Apakah penambahbaikan dasar kerajaan (jika ada) untuk lebih ramai penerima program tersebut ?

    Setakat ini tidak ada sebarang penambahbaikan dasar kerajaan untuk lebih ramai rakyat menerima bantuan Jom Shopping. Ini kerana peruntukan yang sedia ada adalah terhad iaitu sebanyak RM8 juta setahun sahaja dan perlu dibahagikan kepada tiga perayaan utama. Namun yang demikian, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi telah mengetatkan salah satu syarat permohonan iaitu penerima bantuan Jom Shopping mestilah bukan penerima manfaat di bawah Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) atau Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Ianya bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Selangor yang lain yang berkelayakan untuk menikmati manfaat salah satu program (IPR) ini.

  3. Apakah masalah besar yang telah di hadapi oleh kerajaan (jika ada) dalam melaksanakan program tersebut ?

    Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah besar di dalam mengendalikan program Jom Shopping. Ini kerana kesemua pegawai IPR di Pusat Khidmat ADUN atau PKM telah mahir dan terlatih dalam mengendalikan proses pemilihan peserta, memasukkan data ke dalam Sistem Jom Shopping Perayaan, mengagihkan baucar kepada peserta yang layak, membuat pemantauan dan sentiasa berkomunikasi dengan pasar raya dengan begitu baik demi memastikan kelancaran program ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.