Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

76) PRESTASI APLIKASI SEHAT

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan prestasi Aplikasi SEHAT sejak pelancaran termasuk bilangan pengguna, bilangan orang yang dinasihati, bilangan orang yang dirujuk ke hospital untuk rawatan, dan bilangan orang yang sudah mendapatkan rawatan hospital.

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Yang Berhormat Kampung Tunku (N35) No.106.

     

    Seperti yang kita maklum, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 bukan sahaja memberi impak kepada ekonomi dan sumber kewangan individu, malah turut memberi kesan kepada tahap kesihatan mental seseorang. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang dilancarkan pada 30 Ogos 2021 bagi membantu golongan yang terjejas.

     

    Sejak pelancaran aplikasi Mental SEHAT, bermula 1 September sehingga 21 November 2021, seramai 4,902 rakyat Selangor telah berdaftar dan menggunakan aplikasi SEHAT termasuk ujian saringan kesihatan mental dan ujian literasi kesihatan mental. Data juga menunjukkan sejumlah 18,253 tontonan bagi 30 video pendidikan kesihatan mental di dalam aplikasi SEHAT telah ditonton pengguna  yang mencakupi pelbagai isu-isu kesihatan mental.

     

    Manakala, bilangan orang yang dinasihati melalui aplikasi ini atau secara khususnya melalui aplikasi WhatsDoc adalah seramai 89 orang. Mereka telah menjalankan konsultansi secara atas talian dan juga melalui panggilan lisan bersama kaunselor-kaunselor bertauliah melalui platform aplikasi SEHAT ini.

     

    Bagi data bilangan orang yang dirujuk ke hospital dan yang mendapatkan rawatan di hospital, setakat ini aplikasi SEHAT belum menyediakan perkhidmatan rujukan terus ke hospital untuk rawatan. Justeru, tiada data diperolehi sama ada pengguna telah mendapatkan rawatan di hospital atau sebaliknya.

     

    Yang Berhormat Kampung Tunku ada bertanyakan berkenaan pecahan umur pengguna SEHAT. Julat umur pengguna SEHAT secara purata adalah diantara 10 sehingga 82 tahun. Statisitk pecahan umur pengguna adalah seperti berikut:

     

    Bil. Kategori Umur Peratus Penggunaan
    1. Bawah 18 tahun 1.7 peratus
    2. 18 – 30 tahun 28.8 peratus
    3. 30 – 50 tahun 57.8 peratus (Majoriti)
    4. 50 – 82 tahun 11.7 peratus
  2. Adakah Kerajaan Negeri berpuas hati dengan prestasi di atas?

    Yang Berhormat Subang Jaya juga ada bertanyakan adakah kerajaan negeri berpuas hati dengan prestasi ini dan Yang Berhormat Kampung Tunku bertanyakan rancangan Kerajaan Negeri untuk memperkembangkan penggunaan SEHAT.

    Untuk makluman Yang Berhormat, pelaksanaan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang mula diperkenalkan pada pertengahan tahun 2021 ini merupakan program yang lebih komprehensif (bermula daripada kesedaran, pendidikan, saringan, intervensi awal dan juga terapi berkumpulan bersepadu) serta di integasikan dengan aplikasi SeLANGKAH berbanding program kesihatan mental yang diadakan pada tahun 2020. Selanjutnya, untuk tahun 2022, SEHAT akan menggiatkan lagi promosi dan advokasi bagi meningkatkan jumlah pengguna aplikasi ini dan meningkatkan kualiti perkhidmatan di dalam aplikasi.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, bermula tahun 2022, Kerajaan Negeri juga akan menggunakan peruntukan program SEHAT bagi tujuan rujukan kepada pakar psikiatri awam dan swasta. Kerajaan Negeri juga telah mengadakan perbincangan bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi tujuan rujukan pengguna SEHAT kepada pakar psikiatri awam.

    Setakat ini, Kerajaan Negeri melihat Program SEHAT yang diadakan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA) berada di landasan yang tepat bagi mencapai objektif membantu meningkatkan kesedaran rakyat berhubung penjagaan kesihatan mental di samping membantu mereka yang mempunyai masalah berkaitan terutama di era pandemik ini. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melihat terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dalam memastikan program ini terus berkesan dan mampan pada tahun hadapan dan perkara ini sedang di peringkat perbincangan bersama pihak berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.