Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

59) INFRASTRUKTUR RUMAH KOS RENDAH

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan flat kos rendah yang masih tidak dapat wujud JMB.

    Berdasarkan data-data yang dikumpulkan dari setiap pejabat Pesuruhjaya Bangunan (COB) di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), terdapat sebanyak 549 skim pangsapuri kos rendah d negeri Selangor tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB). Pecahan data-data berkenaan mengikut PBT adalah seperti di jadual berikut:-

     

    BIL PBT PIHAK PENGURUSAN
    PEMAJU JMB MC EJEN LAIN-LAIN
    1 MBSA 28 68 82 10 0
    2 MBPJ 189 112 55 18 0
    3 MBSJ 6 45 33 30 9
    4 MPK 102 113 22 2 0
    5 MPS 14 99 64 24 1
    6 MPKJ 119 116 84 48 0
    7 MPAJ 84 179 117 87 77
    8 MPSp 4 33 8 1 0
    9 MDKS 3 17 7 2 0
    10 MDSB 0 0 0
    11 MDHS 0 15 2 19 1
    12 MPKL 0 9 2 0
    JUMLAH KESELURUHAN 549 806 476 241 88

     

     

     

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri membantu bagi penyelesaian isu ini?

    Kegagalan penubuhan JMB di sesebuah pangsapuri disebabkan oleh beberapa faktor antaranya:-

    • Ramai pembeli tidak menyempurnakan pindahmilik setelah buku daftar strata dibuka (kurang 25% pindahmilik unit syer).

    Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bersama-sama Pesuruhjaya Banguna (COB) dan agensi-agensi berkaitan akan meneliti cadangan-cadangan untuk meringankan bebanan kos pembeli-pembeli untuk membuat pindah milik hak milik strata setelah menduduki kediaman mereka. Di antara cadangan boleh dikaji adalah untuk memasukkan kos-kos pindah milik di peringkat awal pembelian hartanah dan perbincangan dengan pihak bank selaku pihak yang membiayai pinjaman rumah supaya mengambilkira kos penyempurnaan pindah milik atau “perfection of transfer”.

    • Keengganan pemaju mengadakan mesyuarat pertama penubuhan JMB.

    Seksyen 17(1) Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757], Badan Pengurusan Bersama (JMB) perlu ditubuhkan apabila mesyuarat pertama diadakan tidak lewat daripada 12 bulan dari tarikh penyerahan milikan kosong (vacant possession) kepada pembeli/pemilik petak. Manakala Seksyen 18(2), memperuntukkan bahawa mana-mana pemaju yang tidak mematuhi subseksyen (1) ini telah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Oleh demikian, kaedah perundangan akan diambil kepada mana-mana pemaju yang sengaja atau enggan menubuhkan JMB mengikut tempoh yang ditetapkan oleh Akta.

    • Keengganan pembeli menubuhkan JMB kerana keadaan fizikal bangunan yang uzur, dan tidak memuaskan. Mereka juga beranggapan sekiranya JMB ditubuhkan pihak pemaju akan lepas tangan.

    Mewujudkan program bantuan pemulihan/penyenggaraan secara one off untuk skim strata yang telah uzur dan tiada pengurusan untuk menaikkan semangat penduduk menubuhkan JMB/MC melalui skim-skim sedia ada seperti CERIA. Selain mempergiatkan kempen memberi kesedaran kepada penduduk untuk wujudkan pengurusan. Selain itu, COB akan menggunakan Seksyen 86 Akta 757 untuk melantik ejen pengurusan untuk menyenggarakan atau menguruskan bangunan pangsapuri berkenaan.

    • Jawatankuasa yang dilantik tidak aktif (tiada kutipan caj dibuat dan tiada penyenggaraan dijalankan dalam tempoh yang lama). Secara tidak langsung menyebabkan pemilik 100% adalah defaulter.

    Dalam hal ini, pihak Pengurusan atau Badan Pengurusdan Bersama (JMB) perlu memperkasakan peranan mereka melalui Akta Pengurusan Strata 2013 (757) untuk mengutip tunggakan caj penyenggaraan di kalangan pemilik-pemilik tegar. JMB yang ditubuhkan mempunyai kuasa untuk mengutip caj penyenggaraan daripada pemilik untuk tujuan pengurusan dan penyenggaraan di bawah Seksyen 21 (subseksyen 2), dan dan seksyen 33, Akta Pengurusan Strata 2013 (757).

  3. Bagaimanakah Kerajaan Negeri membantu isu-isu kerosakan infrastruktur di kawasan flat kos rendah yang tidak mempunyai JMB?

    Bantuan untuk membaiki kerosakan infrastruktur di kawasan flat kos rendah yang tidak mempunyai JMB oleh Kerajaan Negeri akan dibuat di bawah skim bantuan sedia ada seperti CERIA mengikut jenis kerosakan di pangsapuri berkenaan.  Kebanyakan kerosakan di pangsapuri yang tiada JMB adalah terlalu teruk dan memerlukan kos yang besar untuk tujuan baik pulih, maka ianya memerlukan dana khusus untuk tujuan baik pulih. Oleh demikian, kaedah jangka panjang akan diteliti untuk memulihkan bangunan-bangunan uzur akibat tiada badan pengurusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.