Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

58) WANITA BERDAYA SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan WBS dalam mendaya upayakan wanita negeri Selangor yang terkesan akibat COVID-19?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sementa, Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah ditubuhkan pada Januari 2021 dengan misi untuk menggungguli usaha pemberdayaan wanita dan masyarakat dalam sektor kepimpinan, pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sosial. Bagi merealisasikan misi dan visi ini, WBS telah mewujudkan tiga (3) jabatan pelaksana iaitu, Institut Wanita Berdaya (IWB), Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB). Kesemua Jabatan ini berperanan untuk memastikan wanita yang terkesan dengan pandemik Covid-19 mendapat manfaat dari Kerajaan Negeri untuk dibantu menerusi pemberian dana dan pelaksanaan program pembangunan kapasiti.

     

    Ketika awal Pandemik Covid-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, IWB telah melaksanakan satu kajian impak Pandemik Covid-19 kepada wanita di Selangor bermula April 2021. Kajian ini telah dilaksanakan berpandukan kepada tujuh (7) matlamat yang terdapat di dalam Dasar Wanita Selangor (DWS). Hasil dapatan daripada kajian tersebut, beberapa solusi telah diambil oleh pelbagai pemegang taruh bagi menangani beberapa perkara seperti butiran berikut:

     

    1. Dapatan kajian IWB menunjukkan bantuan yang diberikan kurang sensitif gender dan tidak meliputi keperluan khusus bagi golongan wanita dan isu kemiskinan haid telah menjadi salah satu isu yang menjadi tumpuan. Oleh yang demikian, WBS dengan kerjasama PWB di 56 kawasan DUN telah melaksanakan dua (2) program bantuan susu dan lampin pakai buang kanak-kanak, wanita dan warga emas golongan B40. Selain itu, sebagai langkah kelestarian jangka masa panjang, WBS dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Athena dan PWB telah mengenalpasti dan mengedarkan lampin pakai semula kepada wanita terutama yang terkesan Covid-19 serta memberi latihan kemahiran menjahit lampin pakai semula. Dengan kemahiran ini, wanita yang terkesan semasa pandemik boleh menjana sumber pendapatan. Kesemua program dan bantuan ini telah melibatkan kos sebanyak RM700,000.00 pada tahun 2021 di bawah seliaan WBS. Untuk rekod, sebanyak RM336,000.00 telah dibelanjakan di bawah seliaan Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga dalam tempoh pandemik tahun 2020.

     

    1. 25 peratus daripada responden telah kehilangan sumber pendapatan disebabkan oleh pelaksanaan PKP, di mana 43 peratus daripadanya merupakan ketua isi rumah wanita dan 45 peratus merupakan ibu tunggal. Prihatin terhadap krisis ekonomi yang melanda golongan ini, Kerajaan Negeri Selangor telah menganjurkan Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hybrid pada 24 hingga 28 April 2021 bertujuan untuk memberi platform dan peluang kepada usahawan wanita yang terkesan khususnya di peringkat akar umbi bagi menjana pendapatan dan meningkatkan taraf ekonomi mereka. Kerajaan Negeri juga telah menambah 5,000 kuota Ibu Tunggal bagi bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk membantu para ibu dari kumpulan B40 dengan bantuan kewangan bagi pembelian barang keperluan asas dengan had RM200.00 sebulan di pasaraya dan kedai berdaftar.

     

    1. Selain itu, 53 peratus daripada responden tidak mempunyai capaian internet yang stabil sepanjang PKP disebabkan oleh masalah kewangan serta liputan capaian internet yang sangat terjejas terutamanya di daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Lebih 60 peratus responden tidak mempunyai akses kepada peranti dan alat bantu belajar yang sesuai untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR). Justeru, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan WBS menerusi PWB dan UPEN telah membantu mengenalpasti dan memanjangkan tawaran Pakej Data Internet Selangor kepada golongan wanita bagi membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19 demi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam pendidikan serta memberi peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan menerusi medium digital. WBS juga turut memberikan peruntukan data internet kepada peserta yang terlibat dalam program-program

     

    1. 70 peratus barisan hadapan (frontliners) terdiri daripada golongan wanita terkesan dengan penutupan pusat asuhan kanak-kanak dan sekolah. Pada tahun 2021, WBS dengan kerjasama PWB telah mengedarkan Beg CAKNA yang mengandungi pelitup muka, sanitasi tangan, minyak aroma terapi dan bantuan makanan kepada frontliners dengan melibatkan kos sebanyak RM280,000.00. Kerajaan Negeri turut memberikan subsidi berjumlah RM100.00 di bawah Skim Asuh Pintar (AsuhPintar) dan RM50.00 di bawah Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak (taska dan tadika berdaftar dengan JKM) yang berdaftar di bawah Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

     

    1. Ketika PKP dilaksanakan, kes Keganasan Rumah Tangga (KRT) telah meningkat hampir tiga (3) kali ganda daripda biasa. WBS telah melipat gandakan usaha menjalankan kempen kesedaran dan advokasi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan menangani isu ini. Sehubungan dengan itu, sebagai usaha tambahan Kerajaan Negeri dalam menangani isu KRT, talian khusus aduan KRT yang diberi nama Talian SELamat telah diwujudkan dan mula beroperasi pada 1 November 2021 dengan peruntukan RM 100,000.00. Peruntukan pelaksanaan Talian SELamat ini terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada Jun 2021 yang lalu. Sehingga 24 November 2021, 50 peratus daripada 14 panggilan yang diterima adalah berkaitan dengan KRT dan kes berkenaan telah dipanjangkan kepada pihak kaunselor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polid Diraja Malaysia (PDRM) dan Biro Bantuan Guaman untuk tindakan susulan profesional.

     

    1. Terdapat pelbagai program bulanan yang dilaksanakan oleh PWB di 56 kawasan DUN turut memberi nilai tambah bagi membantu wanita akar umbi yang terkesan dengan Covid-19. Sebanyak 832 program telah dilaksanakan melibatkan 11,381 peserta di mana 616 merupakan program kemahiran dan 216 program pembangunan kapasiti.
  2. Sejauh manakah kejayaan pelan tindakan Dasar Wanita Selangor sehingga sekarang?

    Penubuhan Wanita Berdaya Selangor (WBS)pada awal tahun 2021 adalah seiring dengan Dasar Wanita Selangor yang mempunyai tujuh (7) Matlamat Utama. Sehingga kini, antara pencapaian WBS dalam mengangkat Dasar Wanita Selangor adalah seperti berikut:

     

    Matlamat Dasar Wanita Selangor Keterangan Program
    Matlamat 1 :

    Menggalakkan Pembangunan Sensitif Gender.

     

    §  Projek Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming – GM) Selangor Tahun Pertama :

    –       Projek Rintis tiga (3) tahun di mana kini  sedang berada dalam pelaksanaan Tahun Kedua. Pelaksanaan GM Tahun Pertama telah melibatkan empat (4) buah jabatan perintis yang telah melaksanakan Bengkel Latihan Gender,  Audit Gender dan Pelan Tindakan Gender oleh Pegawai Titik Tumpuan Gender (GFP) dan Pasukan Tumpuan Gender (GFT) yang telah dilantik.

    §  GM Selangor telah mendapat pengiktirafan oleh Westminster Foundation for Democracy (WFD) dengan  dijadikan sebagai salah satu sumber rujukan dan kandungan dalam manual Belanjawan Responsif Gender untuk Ahli Parlimen Malaysia selain jemputan panelis bagi perkongsian pengalaman dalam pelaksanaan GM Selangor.

     

    §  Projek Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming – GM) Selangor Tahun Kedua.

    –       Menyelesaikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Titik Tumpuan Gender (GFP) dan Pasukan Tumpuan Gender (GFT) bagi Projek Pengarusperdanaan Gender (GM) Negeri Selangor Tahun 2021/2021.

     

    –       Program tahun ke-2 ini melibatkan jabatan perintis terdiri daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat serta Bahagian Pendidikan Islam, JAIS.

     

    §   Persidangan Wanita Selangor Hybrid 2021 dengan pembentangan sebanyak sembilan belas (19) buah kertas kerja dari penyelidik dan pakar bidang serta lima (5) Forum Wanita dan Kepimpinan Hybrid yang telah dilaksanakan di bawah Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hybrid.

    Matlamat 2 :

    Meningkatkan status sosio-ekonomi dan autonomi wanita terpinggir.

    §  Pelaksanaan Kajian “Impak Sosio-Ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 Terhadap Kehidupan Wanita di Selangor” Tahun 2020 dengan penglibatan 442 wanita di Selangor.

     

    §  Pelaksanaan Ekspo Hasil Suri Selangor (HASSEL) dengan penjualan Produk PWB dan Wanita Selangor.

    Matlamat 4 :

    Mempercepatkan penyertaan, perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita.

     

    §  Program Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Cohort Kedua Tahun 2020/2021 bagi memberi ruang  dan  peluang  kepada  perwakilan  dan kepimpinan wanita di Selangor bagi mempercepatkan    pencapaian 30 peratus penyertaan perwakilan dan pembuatan keputusan dalam kehidupan awam dan politik dalam kalangan wanita.

     

    §  Program Latihan Women2Win kerjasama dengan Sasakawa Peace Foundation, Japan bagi memberi latihan kepimpinan kepada belia wanita dari seluruh Asia Tenggara.

     

    §  Program Pembelajaran Sepanjang Hayat kerjasama dengan Open University Malaysia (OUM) bagi memberi peluang wanita di Selangor melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

    Matlamat 5 dan 6 :

    Meningkatkan kesihatan dan sejahteraan; bebas dari keganasan dan ketakutan

    §  Geran penyelidikan oleh Institut Wanita Berdaya (IWB) kepada Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) bertajuk “The Shelter Needs of Domestic Violence Survivors and the Availability and Accessibility of Shelters and Related Services in Selangor and Kuala Lumpur”

     

    §  Forum Kesihatan Wanita “Wanita dan Kesihatan Umum di Zaman Pandemik COVID- 19”.

     

    §  Siri Webinar Cakna “Perkongsian Tanggungjawab Keluarga Ringankan Beban Mental”

     

    §  Penubuhan Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga yang dipengerusikan oleh YB Dr Siti Mariah binti Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor. Jawatankuasa ini turut melaksanakan beberapa siri perbincangan meja bulat dan mesyuarat bagi mengenalpasti dan menambahbaik isu dan cabaran berhubung dengan keganasan rumah tangga sewaktu pandemik Covid-19.

     

    §  Pelaksanaan Hotline Khusus Aduan Keganasan Rumah Tangga (Talian SELamat)  di talian                  03-64195027 telah beroperasi secara rasmi pada 1 November 2021 dengan kerjasama pelbagai Agensi Kerajaan Negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai first aid bagi memastikan masalah dan isu keganasan rumah tangga di Selangor dapat ditangani dengan sewajarnya.

    Matlamat 7 :

    Menzahirkan bakat kreatif dan inovasi.

    §  Penerbitan wakalah “Ceritalah Wanita” yang menerbitkan 11 wanita  pertama yang terpilih dari pelbagai latar belakang yang menjadi ikon dalam bidang masing-masing.

     

    §  Bengkel Penulisan Gender yang menerapkan penulisan dan karya seni dengan menitikberatkan elemen gender dalam penulisan formal dan tidak formal.

     

    §  Pelaksanaan Forum Wanita dan Kanak-kanak di dalam Dunia Sains “Wanita di dalam Sains dan Teknologi + COVID-19 = Apakah Formula Terbaik bersempena sambutan International Day of Women and Girls in Science yang diraikan pada setiap                     11 Februari oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

     

    §  Penerbitan Buku Orkid yang memaparkan dokumentasi keseluruhan pencapaian organisasi dan gerak kerja Dasar Wanita Selangor.

     

    §  Penerbitan Prosiding Persidangan Wanita Selangor Hybrid melibatkan sebanyak 17 kertas kerja sewaktu persidangan wanita Selangor Hybrid 2021 bersempena Ekspo HaSSel.

     

    §  Siri Secawan Teh, Sesudu Kasih “Dasar Tanpa Data: Seimbangkah Keperluan Gender?” untuk berkongsi keperluan dan kepentingan data dalam pelan pembangunan gender bagi pembuat dasar.

     

    Sebagai makluman awal, WBS kini dalam fasa mengemaskini dan membuat Penilaian Pelan Tindakan Dasar Wanita Selangor hasil kerjasama dengan penyelidik dan pakar bidang daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Penilaian ini dijangka selesai pada pertengahan tahun 2022

Lampiran

Tiada Lampiran.