Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
50) PROGRAM JAMINAN BEKALAN MAKANAN
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
PKPS mencadangkan tanah milik Kerajaan Negeri yang berkeluasan kira-kira 30 ekar di Bukit Changgang sebagai ‘Pilot Project' untuk program jaminan bekalan makanan. Adakah Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan ‘vertical farming' yang menggunakan teknologi lebih canggih dan kadar produktiviti yang lebih tinggi?
Program Agropreneur Bukit Changgang ini diumumkan YAB Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari semasa membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 dibawah Strategi Kedua iaitu Menyelamatkan Industri dan Sektor Ekonomi Serta Usahawan di Selangor. Program ini bertujuan untuk melahirkan 1,000 agropreneur dalam tempoh 5 tahun dengan usahasama institusi kewangan yang akan memberikan suntikan modal.
Untuk makluman, pelaksanaan program ini adalah tertakluk dibawah Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang memberi penekanan kepada perkara berikut;
- Pertanian Bernilai Tinggi;
- Pemodenan Pertanian;
- Pemasaran;
- Pembangunan Agropreneur; dan
- Agro Pelancongan.
Berdasarkan teras yang terkandung dalam Dasar PeTA ini, kaedah pertanian yang berteknologi tinggi seperti ’vertical farming’, fertigasi, hidroponik dan aquaponik akan diberi penekanan agar produktiviti dan pendapatan peserta dapat ditingkatkan.
Selain itu, program ini juga memberi penekanan kepada aspek rantaian bekalan yang lengkap, program pembangunan agropreneur serta sektor agro-pelancongan dengan kerjasama semua agensi berkaitan.
Perancangan untuk melahirkan 1,000 agropreneur ini merangkumi tiga kategori iaitu pengeluaran, pemasaran dan logistik serta melibatkan beberapa fasa di lokasi-lokasi yang berlainan.