Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
35) TAPAK BERSEJARAH
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah peranan Perbadanan Adat Istiadat Melayu Warisan Selangor?
Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor atau dikenali sebagai PADAT ialah sebuah badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dalam melakukan penyelidikan, pendokumentasian, pemeliharaan, pemuliharaan dan pengembangan segala aspek berkaitan sejarah, kebudayaan dan warisan (ketara dan tidak ketara) negeri Selangor.
Fungsi-fungsi PADAT adalah berdasarkan Enakmen Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (No4/2009) iaitu:
- menggiatkan kecenderungan awam dan sokongan dalam pemeliharaan dan penyebaran pengetahuan tentang adat budaya Melayu dan warisan sejarah negeri Selangor;
- memelihara monumen dan ekshibit berbentuk sejarah, tradisi, kaji purba, seni bina atau kesenian;
- melindungi dan membekalkan kemudahan berhubung dengan aspek adat Melayu dan warisan negeri Selangor;
- mengambil tindakan yang perlu bagi memelihara semua objek sejarah, warisan, monumen, rekod, dokumen dan ekshibit;
- mengawal, mengurus, mentadbir Muzium Negeri dan muzium lain di bawah pentadbiran PADAT;
- mengadakan pusat sumber maklumat bagi rujukan dan kerja penyelidikan berhubung dengan aspek adat Melayu dan warisan negeri Selangor dan ekshibit;
- menasihati dan menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan, badan dan entiti lain di semua peringkat bagi maksud melindungi, menggalakkan dan berurusan dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan adat Melayu dan warisan negeri Selangor;
- menggalakkan dan mengawal selia standard yang terbaik dan amalan yang terpakai dalam pemuliharaan dan pemeliharaan adat Melayu dan warisan negeri Selangor; dan
- menasihati Pihak Berkuasa Negeri berhubung dengan apa-apa perkara berkenaan dengan pemuliharaan dan pemeliharaan adat Melayu dan warisan negeri Selangor
-
Bagaimanakah PADAT mencari dan memulihara nilai adat serta sejarah di kawasan Jeram seperti Makam Lebai Husain, Stesen Keretapi Lama, Pejabat Pos Lama, Bangunan Condong di Kg Bukit Kuching?
PADAT telah melakukan pendokumentasian sejarah awal Jeram bermula dari abad ke-15M bagi membuktikan kewujudan kawasan Jeram dan kawasan ini didapati telah mempunyai sistem organisasi pemerintahan tradisional. Pada tahun 2019, sumber-sumber manuskirp berkaitan Jeram juga telah dijumpai di School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London.
Proses pendokumentasian di tapak Jeram telah dilaksanakan melalui kajian lapangan, kerja ekskavasi arkeologi dan pemetaan. Hasil dari ekskavasi arkeologi di tapak Jeram pada tahun 2019 telah menemui artifak berupa peluru meriam, mata wang dan pecahan pecahan seramik. Kajian terhadap hasil jumpaan di Jeram masih diteruskan sehingga kini.
Bagi bangunan warisan sekitar akhir abad ke-19 yang disebutkan di dalam soalan iaitu Stesen Kereta Api Lama, Pejabat Pos Lama, Bangunan Condong di Kg Bukit Kuching, kesemua bangunan warisan ini masih lagi di peringkat kajian. Pihak PADAT sedang mendapatkan maklumat mengenai bangunan warisan dan tinggalan di Jeram di Arkib dan Perpustakaan Negara. PADAT mengharapkan usaha-usaha penyelidikan ini mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri terutama dari segi peruntukan dalam usaha untuk mendapatkan data-data terkini bagi pensejarahan Selangor.