Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

32) PROGRAM AGENDA KLUSTERISASI KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah prestasi dan pencapaian program agenda klusterisasi yang telah digagaskan oleh Kerajaan Negeri sehingga kini bagi merancakkan ekonomi Negeri Selangor?

    Sebagai sebuah Negeri yang maju dan berkembang pesat, Negeri Selangor perlu mempunyai asas ekonomi yang produktif, stabil dan mempunyai nilai tambah dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian. Selain itu, Selangor perlu mempunyai daya saing yang tinggi di peringkat nasional dan global bagi menarik pelaburan domestik dan asing yang berkualiti tinggi bagi menjana pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.

    Bagi mengekalkan prestasi Negeri Selangor sebagai pemacu ekonomi negara dan berkembang terus maju, inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor telah diperkenalkan dengan matlamat untuk memantapkan kekuatan di suatu kawasan tumpuan dengan menfokuskan kelebihan sedia ada melalui penyeragaman persamaan bagi melengkapkan aksesibiliti dan prasarana fizikal yang berkaitan. Selain itu, aktiviti ekonomi akan dipelbagaikan melalui penggunaan sumber ekonomi semulajadi yang mampan sama ada yang boleh diperbaharui atau tidak boleh diperbaharui serta memperkenalkan asas ekonomi baru yang inovatif.

    Untuk makluman semua di bawah agenda klusterisasi, pelbagai perancangan dan tumpuan telah diberikan. Sebagai contoh, Kluster Industri Aeropolis dan Aeroangkasa, industri aeroangkasa terus menjadi agenda utama Kerajaan Pusat dalam mengukuhkan kedudukan negara sebagai penggiat utama industri ini di rantau Asia Tenggara. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) optimis industri aeroangkasa Malaysia akan berkembang dari tahun ke tahun didorong oleh peningkatan dalam aktiviti pembuatan, terutama dalam komponen aerostruktur dan enjin serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) termasuk enjin dan komponen aero.

    Pemintaan dan pengeluaran pesawat global untuk tempoh 20 tahun akan datang dijangka mencecah 41,030 unit dengan nilai sebanyak USD 6.1 trilion dan jumlah ini tidak termasuk pengeluaran ‘regional jet’. Asia Pasifik dijangka bakal menerajui pasaran pengangkutan udara dunia dan ini memberi peluang kepada Malaysia dan khususnya Selangor menjadi diantara hub aeroangkasa bagi rantau ASEAN. Peluang ini bukan sahaja dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi malah dapat membantu syarikat tempatan untuk mengembangkan perkhidmatan dan kepakaran mereka di peringkat global.

    Bertitik tolak daripada ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor di bawah Kluster Industri Aeropolis dan Aeroangkasa, komited untuk menjadi antara hab aeroangkasa global dan mengekalkan kedudukannya sebagai peserta utama dalam industri berkenaan di Malaysia. Perjalanan udara global yang semakin meningkat akan memberi impak terhadap sektor aeroangkasa kerana kira-kira 80 peratus penduduk dunia masih belum menggunakan perkhidmatan penerbangan. Sehubungan dengan itu, penting bagi Negeri Selangor untuk mengambil peluang yang ada menerusi pengukuhan koordinasi di antara agensi berkaitan untuk mempromosikan ekosistem aeroangkasa negeri kepada pelabur.

    Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu unit khas di bawah Invest Selangor Berhad (ISB) yang dikenali sebagai Aerospace Industry Coordination Office (S-DAICO). Penubuhan unit ini bertujuan untuk melaksana dan menyelaras cadangan projek-projek pembangunan aeroangkasa di bawah perancangan Pelan Tindakan Hala Tuju Khusus

    Aeroangkasa 2020-2030 menerusi 30 pelan tindakan yang meliputi 7 inisiatif utama. Unit ini akan turut berperanan sebagai ‘front liner’ bagi membantu pemain-pemain industri aeroangkasa dalam penyaluran maklumat, khidmat nasihat serta peluang pelaburan yang boleh diterokai.

    Bagi Kluster Pertanian, Kerajaan Negeri telah merancang untuk membangunkan Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan di Sungai Lang, Sabak Bernam dengan kawasan seluas 180 hektar (450 ekar) melibatkan pelaburan sekitar RM500 juta dari pihak kerajaan dan swasta. Pusat Industri Hiliran Hasil Laut dan Agro Makanan ini akan menempatkan kemudahan jeti pelabuhan bersaiz sederhana, kilang pemerosesan hasil laut dan Agro Makanan, kemudahan simpanan sejuk beku, terminal pengangkutan, dan pelbagai lagi kemudahan lain.

    Pelan pembangunan ini dijangka akan menjadi pencetus kepada limpahan ekonomi yang lebih besar kepada daerah Sabak Bernam. Di samping itu, beberapa kemudahan lain bagi membantu perkembangan industri hiliran di Sabak Bernam ialah pembinaan Pusat Sembelihan Ayam di Sekendi bernilai RM15 juta dan pembinaan Kilang Minyak Sawit bernilai RM60 juta di Jelutong Jati, semuanya di Daerah Sabak Bernam.

    Di bawah Kluster Industri Automotif Dan Industri Sokongan, Malaysia mempunyai pangkalan pengeluaran tempatan yang kukuh dan telah menjadi pusat pengeluaran dan pembuatan bagi pengeluar komponen automotif utama. Tumpuan industri sokongan di Selangor yang yang terletak di utara Selangor dan berhampiran dengan Bandar Proton secara tidak langsung menyumbang kepada pengembangan ekosistem automotif di Selangor. Sejak penubuhan PROTON, kereta nasional pertama, industri automotif tempatan kini mempunyai lebih daripada 20 kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini yang menghasilkan kenderaan penumpang dan komersil, serta motosikal dan skuter. Industri ini menymbang sekitar RM40 Billion atau 4% daripada KDNK Malaysia dengan tenaga kerja hampir 700,000 orang, dianggarkan 53,000 pasaran ‘aftermarket’ dan lebih dari 600 pembekal komponen.

    Kos yang kompetetif untuk menjalankan perniagaan secara serantau termasuk kos logistik yang rendah telah menyaksikan sokongan untuk pertumbuhan industri automotif tempatan dan merupakan salah satu pembekal komponen utama dalam negara dan serta pasaran global.

    Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia atau MARII telah mengusulkan beberapa inisiatif yang akan meningkatkan dan berhasrat untuk mewujudkan pusat teknologi dan inovasi industri di Cyberjaya yang akan dijadikan sebagai ‘test bed’ bagi industri dron dan UAV. Konsep kenderaan pintar dilihat mampu berkembang pesat dan boleh menjadikan pengeluaran komponen dapat dibangunkan di Selangor. Industri 4.0 akan menjadi pemangkin kepada industri Automotif di mana syarikat seperti Toyota dan Volvo Trucks mula meninjau peluang pelaburan di dalam Industri 4.0 yang dapat meningkatkan permintaan di pasaran. Pengenalan kepada Pencetakan Pintar (3D) di dalam industri automotif memberikan impak positif dan menguntungkan permintaan global.

    Bagi Kluster Industri Sokongan Pelabuhan Dan Maritim pula, Industri Sokongan dan Maritim utama di Selangor adalah melibatkan Pelabuhan Klang yang merupakan antara pelabuhan paling sibuk di dunia. Pelabuhan Klang merupakan pelabuhan ke 12 terbaik di dunia. Pada 1993, Pelabuhan Klang kini telah dibangunkan sebagai Pusat Muatan Negara dan seterusnya sebagai pusat muatan pindah kapal bagi rantau ini.

    Melalui penswastaan kemudahan-kemudahan operasi dan perkhidmatan-perkhidmatan pelabuhan terbahagi kepada 3 entiti yang berbeza di bawah 3 siri penswastaan yang berasingan, Lembaga Pelabuhan Klang telah mempertingkatkan peranannya sebagai pemudahcara perdagangan, mengawalselia dan sebagai tuan tanah. Teras fungsi utama Lembaga Pelabuhan Klang adalah seperti berikut:-

    1. Pemudahcara Perdagangan;
    2. Pembangunan dan Perancangan Pelabuhan;
    3. Mengawal selia perjalanan kemudahan-kemudahan perkhidmatan               penswastaan;
    4. Penguatkuasa Zon Bebas; dan
    5. Pengurusan Harta.

    Selain daripada itu, terdapat juga pembangunan yang membantu menyokong industri maritim di Selangor iaitu SBB Industrial berkeluasan sebanyak 1000 ekar bagi tujuan pembangunan perindustrian dan perumahan di persisiran pantai di Pulau Indah. Pembangunan ini terdiri dari 3 fasa iaitu Fasa 1 & Fasa 3 : Industri & Komersial manakala Fasa 2: komersial, perumahan, pusat bandar dan kemudahan fasiliti awam. Projek ini dibangunkan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor iaitu Central Spectrum Sdn Bhd.

    Bagi memperkasa industri maritim di Selangor, syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd telah diberi mandat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membersihkan dan membangun Sungai Klang sepanjang 56 km yang merentasi 4 perbandaran iaitu MPK, MBSA, MBPJ, MBSJ. Kerja-kerja pembersihan telah membawa keluar sejumlah sampah yang besar sebanyak 50,000 MT sampah telah berjaya di keluarkan sehingga tahun 2019. Dengan usaha pembersihan ini, industri pelancongan dan maritim akan dapat dilaksanakan dan merancakkan pembangunan Sungai Klang.

    Bagi Kluster Pelancongan, Kerajaan Negeri telah memberi fokus kepada sektor pelancongan berasaskan agro-tourism dan eco-tourism. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri telah membaiki dan meningkatkan prasarana Kelong Paradise di Bagan Nakhoda Omar sebagai salah satu produk pelancongan dengan menjadikan kawasan sekitarnya sebagai taman ikan bagi menarik kehadiran para pemancing untuk untuk berekreasi dan berlibur bersama keluarga di luar persisir pantai. Bangunan Hay Resort milik Kerajan Negeri juga akan dibangunkan semula dengan penyertaan pihak swasta dengan pelaburan sekitar RM20 juta bagi menyediakan kemudahan untuk para pelancong berkunjung, melancong, dan menginap di Sabak Bernam. Beberapa produk baru berasaskan agro-tourism juga sedang giat diusahakan oleh pelbagai agensi berkaitan dan juga pihak swasta bagi membangunkan sektor agro-tourism di daerah ini.

    Selain dari lima (5) kluster yang tersebut, kluster-kluster lain juga akan terus dipantau pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan inisiatif Klusterisasi Negeri Selangor ini secara relatifnya dapat memberi impak yang lebih besar dan cepat serta lebih terancang bagi menjana ekonomi yang mampan, dinamik dan inovatif yang seterusnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.