Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
18) PELAN INDUK PENGANGKUTAN AWAM (PIPA)
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan secara terperinci status pelaksanaan PIPA.
Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) yang mengandungi perancangan dalam pembangunan pengangkutan awam khususnya berasaskan rel telah mengenalpasti 12 cadangan koridor laluan pengangkutan awam yang paling optimum untuk Negeri Selangor, namun pelaksanaannya memerlukan kos pembinaan yang tinggi dan penglibatan daripada pelbagai pihak terutamanya agensi pelaksana pengangkutan yang berkaitan, terutamanya di peringkat Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan perancangan projek-projek berimpak tinggi ini. Pelan Induk ini merupakan dokumen tambahan (supplementary document) yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada perancangan-perancangan projek pengangkutan yang melibatkan pelaksanaan di dalam Negeri Selangor.
Untuk makluman Yang Berhormat, di antara cadangan 12 koridor tersebut yang dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan untuk Rancangan Malaysia ke-12, hanya satu cadangan koridor yang sedang dalam pertimbangan untuk dilaksanakan iaitu projek Mass Rapid Transit (MRT) Laluan Lingkaran (Circle Line) atau MRT3 oleh MRT Corp. Cadangan projek ini telah dibentang dan diperaku di dalam Mesyuarat Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 (Bil. 3/2021) pada 21 Oktober 2021.
-
Adakah matlamat meningkatkan nisbah 60:40 pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian telah tercapai?
Buat masa ini, matlamat untuk mencapai nisbah 60:40 masih belum berjaya sepenuhnya sekiranya tiada sokongan atau bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan keupayaan sistem pengangkutan awam darat di Malaysia, khususnya Negeri Selangor. Pelan induk tersebut hanya sebagai rujukan dalam perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi mencapai hasrat dalam meningkatkan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian dengan nisbah 60:40 menjelang tahun 2035.