Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

17) JAJARAN ECRL DI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kedudukan terkini tentang pembinaan dan jajaran ECRL di Selangor?

    Di peringkat Kerajaan Negeri, kedudukan tentang pembinaan dan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) di Selangor masih kekal dengan keputusan MMKN ke-11/2021 yang diadakan pada 24 Mac 2021 yang telah disahkan oleh MMKN ke-12/2021 pada 31 Mac 2021 iaitu MMKN telah bersetuju agar jajaran Projek ECRL di Negeri Selangor dilaksanakan melalui jajaran Seksyen C (Selatan) iaitu Temerloh – Simpang Pelangai – Kuala Kelawang – Nilai – Putrajaya – Sri Cheeding – Pulau Carey – West Ports selaras dengan pendirian yang telah dinyatakan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.

    Kerajaan Negeri juga melalui MMKN ke-31/2021 yang diadakan pada 15 September 2021 yang telah disahkan oleh MMKN Ke-32/2021 pada 29 September 2021 telah menimbang dan menolak Permohonan Pengambilan Tanah Di Bawah Seksyen 3(1)(a) Dan Pengisytiharan Di Bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1960 Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Bagi daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang Selangor Darul Ehsan. Maklumat ini telah dipanjangkan berdasarkan surat JPKTG kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia bertarikh 13 Oktober 2021.

    Terkini, Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara MPFN Ke-39 (Bil. 3/2021) yang diadakan pada 21 Oktober 2021 telah memperakukan jajaran Seksyen C bahagian utara bagi negeri Selangor. Cadangan Pembangunan Projek ECRL ini melalui Jajaran Seksyen C (Jajaran Asal Temerloh – Gombak – Serendah – Pelabuhan Klang) di Negeri Pahang dan Selangor.

    Kerja-kerja pembinaan bagi jajaran ECRL di Selangor akan dimulakan setelah kelulusan yang disyaratkan diperolehi. Walaubagaimanapun, penyiapan bagi Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Gombak dan Serendah dijangkakan akan mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Disember 2027.

Lampiran

Tiada Lampiran.