Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
8) PERSEDIAAN UNTUK SUKMA 2022
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah persediaan Kerajaan Negeri untuk SUKMA 2022?
Temasya Sukan Malaysia atau lebih sinonim dengan SUKMA telah tertangguh pada SUKMA 2020 Johor berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada tahun 2020. Dan ianya berlarutan sehingga temasya SUKMA 2020 Johor terpaksa ditunda dua (2) kali iaitu tunda ke tahun 2021 dan seterusnya ke tahun 2022. Pihak Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) yang telah membuat persediaan bermula sejak tahun 2019 lagi akur dengan keadaan semasa demi untuk keselamatan bersama.
Untuk program latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jurulatih telah meneruskan program latihan dengan menggunakan kaedah latihan secara virtual di kediaman masing – masing. Pada masa tersebut, hanya kaedah virtual yang relevan dan membantu jurulatih agar dapat berinteraksi dengan atlet dan dalam masa yang sama jurulatih dapat memastikan atlet mereka dalam keadaan fizikal yang cergas.
Selain itu juga persediaan lain adalah melibatkan program – program sokongan seperti ceramah dan motivasi dalam bentuk webinar. Program – program sokongan ini juga penting untuk meningkatkan tahap motivasi atlet dalam tempoh pandemik ini selain membantu mereka agar dapat meningkatkan tahap kesihatan mental yang terjadi akibat daripada situasi pandemik seperti kemurungan, stress yang keterlaluan dan juga ketakutan yang melampau.
-
Apakah sukan yang akan diberi perhatian khusus oleh Kerajaan Negeri?
MSN Selangor memberi penumpuan khusus kepada sukan – sukan teras. Sukan – sukan ini adalah sukan – sukan yang telah disenaraikan oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN). Sebanyak 15 jenis sukan – yang disenaraikan seperti berikut:
Sukan Teras 1. Akuatik 9. Olahraga 2. Badminton 10. Pelayaran 3. Berbasikal 11. Pencak Silat 4. Gimnastik 12. Skuasy 5. Karate do 13. Tenpin Bowling 6. Lawn boling 14. Wushu 7. Memanah 15. Tinju 8. Menembak Namun begitu, pihak MSN Selangor tidak meminggirkan sukan – sukan yang lain kerana pembangunan sukan di Selangor ini adalah menyeluruh dan setiap sukan juga diberi peruntukkan kepada persatuan sukan negeri. Sukan – sukan pilihan tersebut adalah seperti berikut:
Sukan Pilihan Bil. Sukan Bil. Sukan 1. Angkat berat 13. Ragbi 2. Bina badan 14. Sepak takraw 3. Bola keranjang 15. Silambam 4. Bola tampar 16. Sofbol 5. Bola baling 17. Taekwando 6. Bola jaring 18. Tenis 7. Jet ski 19. Petanque 8. Judo 20. Kanu 9. Kabbadi 21. Mendayung 10. Kriket 22. Floorball 11. Lawan pedang 23. Iceskate 12. Ping pong 24. E-sport -
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menyediakan golongan atlet pelapis dengan mengambil kira fasa endemik Covid-19?
Untuk melahirkan seseorang atlet yang terbaik, ianya memerlukan kemajuan tahun demi tahun sebelum mencapai kemuncak prestasi sukan tersebut. MSN Selangor perlu meneruskan program pembangunan sukan seperti sediakala walaupun ianya dalam situasi endemik. Progam latihan, penyertaan ke kejohanan dan lain-lain program sokongan akan diteruskan seperti biasa dan di fasa endemik ini ianya akan disesuaikan mengikut SOP yang digariskan.
Kerajaan negeri telah memberi peruntukkan tahunan kepada MSN Selangor dan program pembangunan ini tetap dijalankan mengikut modul dan SOP. Ini termasuklah Program Bakat dan Pelapis yang di daerah juga menjalani rutin latihan seperti biasa.
Tambahan pula kebanyakan atlet- atlet Selangor telah mendapatkan vaksin dan ini akan memberi keyakinan kepada pihak ibubapa untuk memberi kebenaran agar anak mereka terus berkecimpung dalam bidang sukan yang berprestasi tinggi.