Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

195) HASIL TANAMAN

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Hasil tanaman di peringkat Nasional semakin merosot, nyatakan kaedah atau pelan tindakan untuk meningkatkan hasil tanaman petani seperti kelapa sawit, padi dan kelapa di Selangor.

    Kerajaan Negeri bertanggungjawab di dalam memastikan keperluan makanan dan keselamatan makanan terjamin dan terpelihara. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM66,912,000 melalui Jabatan Pertanian Selangor untuk tujuan pembangunan sektor pertanian di Negeri Selangor bagi tempoh RMK12 (2021-2025). Peruntukkan ini bertujuan untuk membangunkan program pembangunan sektor tanaman makanan iaitu,

    • tanaman buah-buahan,
    • sayur-sayuran, padi,
    • kelapa, herba, florikultur
    • tanaman untuk makanan ternakan,
    • pengeluaran madu,
    • industri asas tani,
    • agropelancongan serta
    • pembangunan modal insan agroprenur pertanian.

     

    Tahun 2020 menunjukkan data pengeluaran tanaman makanan dan industri berjumlah 271,435.00 Metrik Tan dengan nilai anggaran pengeluaran RM 502 Juta. Nilai ini mewakili sumbangan hampir  11,000 agropenur di negeri Selangor. Persaingan antara keperluan kawasan pertanian, industri dan perumahan telah menjadikan sektor pertanian di Selangor perlu menjadi lebih kreatif untuk bergerak seiring dengan dengan peredaran zaman dan kemajuan negeri Selangor. Untuk mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri telah membangunkan Pelan Transformasi Agromakanan Selangor (PeTA) sebagai pelan induk tindakan pembangunan sektor pertanian di Negeri Selangor. Peruntukkan yang telah disediakan untuk Sektor Pertanian dalam RMK12 diharapkan akan memberikan impak positif kepada lebih 10,000 golongan sasar iaitu golongan petani, seterusnya membantu meningkatkan pengeluaran hasil tanaman makanan yang masih rendah tahap Self Sufficient Level (SSL) di Negeri Selangor dan Malaysia.

     

    Bagi membantu pesawah di dalam menghadapi masalah pengurangan hasil padi khususnya pada tahun 2021 ini akibat serangan perosak Ulat Gulung Daun dan Ulat Pengorek Batang, sejumlah RM2,795,085.00 telah diperuntukkan pada tahun ini untuk membantu golongan tersebut yang melibatkan seramai 10,868 pesawah di Daerah Kuala Selangor dan Sabak BernamUsaha dan perancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil keluaran padi Negeri Selangor adalah seperti berikut:

     

    1. Menggalakkan penggunaan varieti yang seragam
    2. Menyelaraskan penjadualan tanaman secara seragam
    3. Menggalakkan kawalan perosak secara bersepadu bersama kelompok petani
    4. Menggalakkan pesawah untuk menuai padi tepat pada masanya
    5. Memperkenalkan pengurusan tanaman padi melalui program Smart Sawah Berskala besar ( Smart SBB ) dengan penglibatan pihak swasta berkerjasama dengan pesawah
  2. Apakah Kerajaan Negeri mempunyai kajian khusus mengenai hasil tanaman merosot? Jika ada, nyatakan hasil kajian tersebut?

    Kerajaan Negeri melalui  Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPENS) telah membuat beberapa siri kajian khusus berkaitan sektor pertanian, diantaranya kajian bersama  dengan Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM) , Universiti Putra Malaysia pada tahun 2018. Kajian dan kemaskini perancangan sektor pertanian Negeri Selangor akan diteruskan  dalam perangkaan  Pelan Transformasi  Agromakanan Selangor  (PeTA) dengan kerjasama jabatan dan agensi dibawah portfolio petanian. Jabatan dan agensi terbabit turut memantau prestasi pengeluaran hasil program pertanian yang dilaksanakan dibawah skop jabatan/agensi masing-masing dan melaporkan prestasi tersebut kepada Kerajaan Negeri melalui mesyuarat jawatankuasa pembangunan yang berkaitan di bawah Exco Pertanian..

Lampiran

Tiada Lampiran.