Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

188) HOMESTAY

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan Negeri Selangor merancang untuk membangunkan rumah- rumah tradisi yang berpotensi untuk dimajukan sebagai homestay khususnya di kawasan DUN Sungai Air Tawar yang mempunyai tarikan seni binanya.

    Untuk makluman Yang Berhormat, terma ‘Homestay’ adalah merujuk kepada satu program dimana ianya ialah rumah orang awam yang menyediakan ruang atau bilik untuk disewakan kepada pelancong yang akan digabungkan sekurang-kurangnya 10 buah rumah dan mempunyai aktiviti yang boleh dijalankan. Di Malaysia, bagi membangunkan sesebuah kawasan sebagai homestay, pengusaha perlu mengikut program pembangunan homestay dibawah Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), serta mendaftar dengan MOTAC Negeri Selangor. Panduan bagi pendaftaran di bawah program ini boleh merujuk di laman sesawang rasmi MOTAC https://motac.gov.my/program/pelancongan/homestay-kampungstay.

     

    Kerajaan Negeri mengambil maklum dan akan mempertimbangkan cadangan untuk membangunkan rumah-rumah tradisi sebagai salah satu tarikan pelancongan serta sebagai salah satu usaha memelihara warisan dan kebudayaan yang terdapat di Negeri Selangor termasuklah di DUN Sungai Air Tawar. Rumah-rumah tradisi tersebut boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan yang berkonsepkan “house stay” seterusnya menjadi salah satu kaedah penginapan dan juga menjadi produk tarikan para pelancong untuk datang ke kawasan tersebut.

     

    Pemilik rumah-rumah tradisi ini boleh bekerjasama dan merujuk kepada pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bagi mendapatkan kebenaran/lesen operasi serta panduan pengurusan penginapan kepada orang awam atau pelancong.

     

    Sebagai maklumat tambahan, pada ketika ini Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) juga dalam proses memperincikan Garis Panduan Program Inap Dusun dibawah Program Pemurnian Pelancongan Negeri Selangor (P3S). Program ini dirangka untuk memberikan panduan kepada pemilik-pemilik rumah/penginapan dari segi proses permohonan lesen dan syarat-syarat operasi penginapan pelancongan yang diperlukan secara teratur.

  2. Berapakah peruntukan disediakan kepada industri pelancongan melibatkan homestay dan rumah tumpangan yang berpotensi di Selangor?

    Pada ketika ini, tiada sebarang peruntukan khusus yang diberikan kepada homestay dan rumah tumpangan yang berpontensi di Negeri Selangor namun sekiranya terdapat permohonan bagi pembangunan produk pelancongan yang berpotensi, pihak berkenaan boleh memohon melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk diangkat kepada kelulusan diperingkat Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.