Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
162) KEMISKINAN BANDAR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status kemiskinan bandar kini selepas pandemik COVID-19?
Pembangunan dan perkembangan ekonomi negeri perlu selari peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat. Ekonomi yang kian berkembang adalah instrumen yang paling berkesan dalam mengurangkan kemiskinan, sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup rakyat. Kemiskinan bandar dicorakkan dengan kekurangan ketara di dalam dimensi ketidakcukupan atau ketidakstabilan pendapatan isi rumah, perumahan berkualiti rendah, diskriminasi dan kemudahan terhad kepada pasaran buruh. Hidup di bandar bermakna wang tunai perlu dijana sehingga menyebabkan golongan miskin perlu terbabit dalam pasaran pekerjaan. Bagaimanapun, wujud halangan utama dalam pasaran pekerjaan bukan kerana kekurangan penawaran atau peluang terhad, tetapi lebih kepada kekurangan kemahiran diri, keupayaan ke tempat kerja disebabkan masalah pengangkutan dan kemudahan penjagaan anak serta isu sosial.
Berdasarkan kepada Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia, 2020 yang memuatkan dapatan kajian kesan COVID-19 ke atas pendapatan isi rumah di Malaysia pada tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan bergaji dan bekerja sendiri yang merupakan punca utama pendapatan isi rumah masing-masing telah mencatatkan penurunan sebanyak negatif 16.1 peratus dan negatif 9.7 peratus. Penurunan ini disebabkan oleh isi rumah atau individu yang telah mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan terutamanya mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain. Tambahan pula, pengurangan pendapatan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran.
Untuk makluman Yang Berhormat Lembah Jaya lagi, bilangan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 telah bertambah sebanyak 12.5 peratus. Sementara itu, sebanyak 20.0 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 telah beralih kepada kumpulan B40. Isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 juga turut terkesan akibat pandemik COVID-19 yang mana sebanyak 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan ini telah beralih kepada kumpulan M40. Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi isi rumah B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding kumpulan isi rumah T20, maka agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9 peratus (2019: 16.0%) dan 36.9 peratus (2019: 37.2%). Purata pendapatan isi rumah kasar bulanan di Negeri Selangor juga mencatatkan penurunan negatif 10.7% pada tahun 2020 berbanding 2019. (sumber: Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020).
Secara keseluruhannya, penularan pandemik COVID-19 telah memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah. Ekonomi dijangka akan bertambah baik dan pulih apabila penularan pandemik ini dapat diatasi. Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS/BA) oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia yang seterusnya akan dilaksanakan pada tahun 2022 untuk tempoh 12 bulan di seluruh negara. Analisis daripada survei ini juga tidak terhad di peringkat nasional dan negeri sahaja bahkan sehingga ke peringkat daerah pentadbiran.
Sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringankan bebanan rakyat miskin dalam menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif dalam mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan. Namun begitu, program-program pembasmian kemiskinan ini adalah bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin dan kurang berkemampuan di Negeri Selangor serta tidak menfokuskan golongan miskin bandar sahaja.
Antara rancangan dan inisiatif sedia ada Kerajaan Negeri yang telah dilaksanakan adalah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang terdiri daripada tiga puluh tiga (33) program. Program-program IPR ini merupakan usaha keras Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari dimensi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat. Antara Program-program IPR adalah seperti Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Bas Smart Selangor, Skim Air Darul Ehsan, Bantuan Bina dan Baiki Rumah Kerajaan Prihatin, Program Baucar Jom Shopping Bersempena Perayaan, Skim Hijrah, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS), Program Peduli Siswa, serta pelbagai lagi. Semua agenda dan rancangan Kerajaan Negeri ini diyakini memberikan keberkesanan yang amat positif dalam menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat Negeri Selangor.
-
Nyatakan pendekatan Kerajaan Negeri dalam mengurangkan jika tidak dapat menghapuskan, masalah kemiskinan ini?
Jawapan adalah sama seperti di atas.