Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
140) GOLONGAN MISKIN TEGAR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor kepada golongan miskin tegar dan peluang yang mereka perolehi untuk mengubah nasib mereka?
Usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan dan keadaan sosio ekonomi untuk berhijrah keluar daripada kitaran kemiskinan. Untuk makluman, PGK RM1,500 seisi rumah telah mula digunapakai sejak tahun 2009 berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 1/2009 pada 7 Januari 2009. Berdasarkan kepada keputusan MMKN ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016 pula MMKN bersetuju bahawa PGK Negeri Selangor dikekalkan pada paras RM1,500.00 seisi rumah dan pada waktu itu, PGK Selangor ini juga dilihat lebih realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa berbanding dengan PGK Nasional iaitu RM930 seisi rumah (mulai tahun 2014). Tetapi pada tahun 2020, atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam membela nasib golongan miskin dan miskin tegar ini, Kerajaan Negeri telah menetapkan kadar PGK yang baharu berjumlah RM2,000 seisi rumah. Ini adalah berdasarkan kepada keputusan MMKN ke 26/2020 bertarikh 29 Julai 2020 iaitu MMKN bersetuju bahawa PGK Negeri Selangor dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000 seisi rumah dan terpakai dalam menyelaras dan melaksanakan program Kerajaan Negeri Selangor. Oleh yang demikian, kebanyakan syarat-syarat pendapatan program di bawah Kerajaan Negeri Selangor telah dinaikkan kepada RM2,000 seisi rumah dan ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk memohon bantuan dan menerima manfaat.
Untuk makluman Yang Berhormat lagi, program-program tersebut yang kini telah dijenamakan sebagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) terdiri daripada tiga puluh tiga (33) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori iaitu kebajikan, kesihatan, kekeluargaan, pendidikan, pekerjaan dan perniagaan dan perumahan. Antara Program-program IPR adalah seperti Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Bas Smart Selangor, Skim Air Darul Ehsan, Bantuan Bina dan Baiki Rumah Kerajaan Prihatin, Program Baucar Jom Shopping Bersempena Perayaan, Skim Hijrah, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS), Program Peduli Siswa, serta pelbagai lagi. Dalam pada itu, program-program IPR juga diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekali gus dapat mengangkat golongan yang tidak bernasib baik ini keluar daripada kitaran kemiskinan.