Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

81) MASALAH AIR DI TAMAN DESA BUKIT BUJANG

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan tunggakan bil air pemaju Taman Desa Bukit Bujang, Kuala Kubu Bharu yang mana pemaju tersebut menerima bil bagi pihak penduduk.

    Taman Desa Bukit Bujang dimajukan oleh Pemaju ARK Development Sdn Bhd. Akaun bekalan air telah dibuka pada 8 Februari 2013 dan sehingga kini akaun ini masih lagi di atas nama pemaju kerana kegagalan pemaju membuat penyerahan sistem perpaipan kepada Air Selangor. Oleh itu, akaun ini masih di bawah kod tarif industri kerana masih lagi berstatus pembangunan. Sehingga kini, hanya tinggal 98 unit perumahan jenis rumah teres yang masih menggunakan meter pukal pemaju dan penggunaan air bulanan mereka dibilkan oleh pemaju, manakala 271 unit rumah kediaman di fasa awal pembinaan telah mempunyai akaun secara terus dengan Air Selangor.   Mengikut rekod pengebilan, bil bulanan akaun meter pukal adalah dalam purata RM9,000 sebulan. Semua bil dibayar mengikut masa yang ditetapkan dan tiada sebarang tunggakan di atas akaun pemaju ini.

  2. Adakah Air Selangor mengetahui masalah tangki air yang dibina oleh pemaju? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Air Selangor sedia maklum mengenai masalah tangki air yang dibina oleh pemaju Taman Desa Bukit Bujang yang mana infrastruktur tersebut masih belum disiapkan sepenuhnya mengikut spesifikasi Air Selangor. Air Selangor telah memberi kelulusan lanjutan pelan retikulasi yang melibatkan Tangki Menara, Rumah Pam, Tangki Sedut dan sistem retikulasi luaran pada 7/2/2017. Walau bagaimanapun, pihak pemaju masih belum menyerahkan infrastruktur bekalan air di kawasan tersebut untuk diambil alih oleh Air Selangor.

  3. Adakah Air Selangor akan mengambil alih pemegang akaun rumah kediaman di Taman Desa Bukit Bujang, Kuala Kubu Bharu yang telah berada di tangan pemaju lebih daripada 3 tahun? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya.

    Air Selangor hanya akan mengambilalih sekiranya sistem bekalan air kekal di pembangunan tersebut termasuk tangki sedut, rumah pam, tangki menara dan paip retikulasi telah siap dibina oleh pemaju dan diserahkan kepada Air Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.