Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

51) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah projek rumah Selangorku yang sedang dan akan dilaksanakan di Dun Meru?

    Untuk makluman Yang Berhormat, terdapat lapan (8) projek yang telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibina Rumah Selangorku di DUN Meru iaitu di mukim Kapar, Daerah Klang.

    Status terkini lapan (8) projek tersebut adalah sebanyak tiga (3) projek yang mempunyai 1,200 unit telah siap dibina dan diduduki. Sebanyak satu (1) projek yang terdiri daripada 236 unit sedang dalam pembinaan dan empat (4) projek lagi yang mempunyai 746 unit masih dalam peringkat perancangan. Perincian pembangunan Rumah Selangorku adalah seperti di Jadual 1 Lampiran 1.

  2. Adakah Kerajaan Selangor mempunyai cadangan untuk membina rumah Selangorku yang berharga bawah RM100K untuk mereka yang betul-betul susah kategori B40?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat prihatin malah menggalakkan setiap individu terutamanya golongan berpendapatan rendah atau B40 untuk memiliki rumah idaman mereka sesuai dengan slogan Kerajaan Negeri iaitu ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’.

     

    Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa langkah agar projek Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B yang ditetapkan harga jualan pada harga RM42,000.00 dan RM100,000.00 di beri keutamaan di bina. Langkah yang di ambil Kerajaan Negeri adalah melalui peringkat dasar sehinggalah ke peringkat pemantauan pelaksanaan projek. Dari peringkat dasar, Kerajaan Negeri telah meluluskan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai    2 April 2018 bertujuan memastikan Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B berada dan banyak di pasaran, setiap pembangunan perumahan berkeluasan melebihi 5 ekar dikenakan syarat penyediaan di antara 10% hingga 30% Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B mengikut zon- zon pembangunan. Penyediaan Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B ini disyaratkan kepada semua pemaju perumahan sama ada terdiri daripada pemaju swasta, kerajaan atau Anak Syarikat Kerajaan Negeri / Persekutuan.

     

    Di peringkat pemantauan projek pula, Kerajaan Negeri telah menetapkan syarat agar Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B ini di bina terlebih dahulu atau secara serentak dengan Rumah Harga Bebas yang lain.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, antara langkah jangka panjang Kerajaan untuk memastikan rakyat golongan B40 memiliki rumah adalah melalui beberapa pendekatan seperti berikut:

     

    • Skim Smart Sewa

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan objektif utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran. Mereka ini akan diberi tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama dua (2) tahun dan maksima selama lima (5) tahun.

     

    Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit dengan pemohon memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

     

    Sehingga kini, LPHS telah membuat pembelian sebanyak 1,111 unit rumah mampu milik. Sebanyak 649 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450.00 sebulan sehingga RM900.00 sebulan. Manakala sebanyak 110 unit telah diserahkan kepada LPHS dan dalam proses penyewaan kepada orang awam. 40 unit dalam pembinaan manakala sebanyak 312 unit dalam proses pembelian.

     

     

    • Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY)

    Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY) merupakan kesinambungan Program Skim Smart Sewa. Ia merupakan insentif baharu Kerajaan Negeri untuk membantu golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan serta sukar untuk mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah.

     

    Ini adalah selaras dengan Pakej Selangorku Prihatin Fasa 3 / Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 pada Dewan Negeri pada 13 Julai 2020, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar telah memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) Pasca Covid. Jangkaan akan terdapat penambahan sebanyak 60,000 unit dalam tempoh 3 tahun sehingga tahun 2022.

     

    Insentif ini telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada pemain industri dimana sehingga 1 September 2021, sebanyak 50 projek melibatkan sebanyak 84,292 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI telah diluluskan oleh MMKN. Nyata program ini, ianya telah mengatasi sasaran kerajaan negeri untuk membina 60,000 unit rumah dalam tempoh tiga tahun sehingga tahun 2023.

     

    Daripada jumlah tersebut, kerajaan negeri akan memperoleh 3,062 unit rumah kontra yang mana akan digunakan untuk pelaksanaan program sewa beli yang bakal dilaksanakan kelak. Program ini merupakan insentif bagi membantu golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan serta sukar untuk mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah pertama dengan harga jualan tidak melebihi RM200,000 seunit berbanding harga jualan sebenar.

     

     

    LAMPIRAN 1

    Jadual 1 : Perincian Pembangunan Rumah Selangorku  Di Mukim Kapar, Daerah Klang

     

    Bil Nama Pemaju Lokasi Projek Bil unit Status Pembangunan
    1 Sime Darby Property (Klang) Sdn. Bhd. PT 69097, PT 72198, Lot 45390 dan Lot 46961, Bandar Bukit Raja (17A). Jenis C2 – 128 unit

    Jenis D – 490 unit

     

    Jumlah – 618 unit

    Siap Bina
    2 Sime Darby Property (Klang) Sdn. Bhd. PT 69097, PT 72198, Lot 45390 dan Lot 46961, Bandar Bukit Raja (17B). Jenis C2 – 118 unit

    Jenis D – 452 unit

    – 570 unit

    Siap Bina
    3 NPO Development Sdn. Bhd.  (Neu Estates Sdn. Bhd.) PT 71570 Hingga PT 71574 Dan Lot 55023 Hingga Lot 55029 Taman Sungai Kapar Indah. Jenis D – 452 unit Siap Bina
    4 Sime Darby Property (Klang) Sdn. Bhd. Lot 45390,(Fasa 4E), Fasa 1 (Stage 1), Bandar Bukit Raja. Jenis C1 – 236 unit Dalam Pembinaan
    5 Sutera Bangsa Sdn. Bhd. Lot 54922  dan Sebahagian Lot 54923  Di Taman Sungai Kapar Indah. Jenis C2 – 259 unit Dalam Perancangan
    6 Sutera Bangsa Sdn. Bhd. PT 64240 Hingga        PT 64246, PT 71570 Hingga PT 71574 Dan Lot 55023 Hingga Lot 55209, Taman Sungai Kapar Indah. Jenis C2 – 77 unit Dalam Perancangan
    7 Sime Darby Property (Klang) Sdn. Bhd. Lot 46961, (Fasa 12E), Fasa 1 (Stage 1), Bandar Bukit Raja, Mukim Kapar. Jenis C1 – 154 unit Dalam Perancangan
    8 NPO Land Sdn. Bhd. (Neu Estates Sdn. Bhd.) PT 80314 sehingga   PT 80569 (Dahulunya PT 73321 dan            PT 73322, Mukim Kapar. Jenis C2 – 256 unit Dalam Perancangan

     

Lampiran

Tiada Lampiran.