Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
45) INISIATIF PEDULI RAKYAT (IPR) NEGERI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Halimey Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah insentif IPR Peduli Sihat boleh diberikan kepada mereka yang bukan hanya B40 memandangkan Pendemik COVID menjejaskan pendapatan mereka?
Rakyat Negeri Selangor terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah merasa terbeban akibat daripada peningkatan berterusan kos sara hidup. Peningkatan kos sara hidup ini menyebabkan pendapatan isi rumah tidak dapat menampung peningkatan harga barangan atau perkhidmatan, termasuk perkhidmatan kesihatan seperti kos ubat-ubatan, caj khidmat rawatan dan khidmat perundingan. Meskipun dalam mendepani cabaran kesihatan global dan domestik, Kerajaan Negeri tetap mengutamakan aspek kesihatan rakyat bagi memastikan rakyat terus menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Skim Peduli Sihat (SPS) pada tahun 2017, di mana ia telah ditambah baik kepada kepada Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) pada tahun 2020. Setakat ini Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) hanya diberikan kepada golongan pendapatan rendah (B40) iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 sebulan memandangkan objektif program ini yang menyasarkan kepada golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan yang lebih baik dan selesa.
Walau bagaimanapun, terdapat insentif lain di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang disediakan kepada golongan selain B40 iaitu golongan berpendapatan isi rumah kumpulan pertengahan (M40), iaitu Skim Rawatan Jantung. Skim Rawatan Jantung menawarkan bantuan khidmat rawatan jantung sehingga RM50,000 kepada golongan berkelayakan iaitu jumlah pendapatan isi rumah bawah RM2,000 bagi penerima SIPS dan di antara RM2,000 sehingga RM8,000 bagi bukan penerima SIPS.