Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

28) SAMPAH PUKAL

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri bagi mengurangkan sampah pukal dibuang di tempat-tempat awam?

    Isu sampah pukal yang dibuang di tempat-tempat awam ini timbul kerana mentaliti not in my backyard di kalangan segelintir penduduk. Sampah pukal ini sepatutnya diletakkan di hadapan rumah atau di tempat-tempat yang telah digazetkan dan bukannya di tempat-tempat awam seperti yang berlaku di beberapa kawasan. Pihak KDEB Waste Management akan membuat kutipan sampah pukal  secara percuma mengikut jadual operasi yang boleh dirujuk di papan tanda di lokasi-lokasi strategik yang telah ditetapkan.

    KDEB Waste Management juga akan menambah bilangan trip di lokasi-lokasi hotspot selain menyediakan tong RORO berdasarkan kepada permintaan bagi aktiviti gotong royong dan spring cleaning khususnya menjelang waktu perayaan bagi kemudahan penduduk membuang sampah pukal. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga akan diminta untuk meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi mengelakkan penduduk membuang sampah pukal di tempat yang tidak sepatutnya.

     

    Untuk rancangan jangka panjang, kerajaan negeri melalui PBT akan memperhebatkan kempen 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recyle supaya penghasilan sampah pukal ini dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga melihat bahawa tambahan 2R lagi iaitu Refuse dan Repurpose yang dipraktikkan  oleh negara-negara maju juga boleh diterapkan kepada rakyat negara kita supaya penduduk membuat pertimbangan dan memikirkan alternatif yang lain terlebih  dahulu seperti guna semula sebelum membuang sampah tersebut. Aspek kesedaran dan pendidikan ini adalah amat penting  supaya rakyat sentiasa peka terhadap aspek kebersihan dan ini juga adalah selaras dengan matlamat pembangunan mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang ke 11 iaitu bandar dan komuniti yang mampan.

  2. Bagaimana kerajaan negeri memupuk penduduk untuk mengunakan I-Clean App bagi mengurangkan sampah pukal di tempat awam?

    Sehingga September 2021, jumlah pengguna aplikasi i-Clean yang telah direkodkan adalah sebanyak 63,453 orang. Aplikasi i-Clean ini adalah salah satu daripada platform aduan yang disediakan oleh KDEB Waste Management untuk memudahkan penduduk membuat aduan berkenaan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam. Selain dari aplikasi i-Clean, penduduk juga boleh menyalurkan aduan kepada KDEB Waste melalui medium aduan yang lain seperti panggilan telefon, whatsapp, email dan sebagainya. Kesemua aduan ini akan dipantau dan dikawal selia oleh Centralized Command Center (CCC) KDEB Waste Management.

    Berkenaan dengan soalan Yang Berhormat mengenai penggunaan aplikasi i-Clean bagi mengurangkan sampah pukal di tempat awam, tiada korelasi yang jelas bagaimana i-Clean ini boleh digunakan untuk mengurangkan sampah pukal di tempat awam. Ini adalah kerana i-Clean merupakan salah satu platform aduan dan bukannya aplikasi yang digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan kutipan sampah pukal.

    Walaubagaimanapun, sekiranya penduduk melihat terdapat sampah-sampah pukal yang dibuang di tempat-tempat yang tidak sepatutnya, penduduk bolehlah membuat aduan menggunakan aplikasi i-Clean ini supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Lampiran

Tiada Lampiran.