Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

19) SKIM SMART SEWA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memperbanyakkan lagi unit-unit rumah untuk sewaan kepada belia-belia yang masih belum mampu untuk membeli rumah?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembelian unit rumah bagi Skim Smart Sewa sebanyak 987 unit untuk disewakan kepada mereka yang masih belum mampu untuk membeli rumah termasuk kepada belia-belia di Negeri Selangor. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri baru sahaja meluluskan cadangan pembelian tambahan sebanyak 124 unit dan ini menjadikan jumlah keseluruhan pembelian adalah sebanyak 1,111 unit Skim Smart Sewa.

    Kerajaan Negeri juga dalam merancang dan mengkaji keperluan menambah stok pembelian unit Skim Smart Sewa sebanyak 100 unit lagi pada tahun 2022 dengan mengambilkira permintaan daripada orang awam

  2. Adakah Kerajaan Negeri bersedia untuk menjual unit-unit rumah dibawah Skim Smart Sewa kepada penyewa sedia ada sekiranya mereka berkemampuan selepas tamat tempoh sewaan?

    Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menjual unit-unit rumah dibawah Skim Smart Sewa kepada penyewa sedia ada sekiranya mereka berkemampuan selepas tamat tempoh sewaan. Ini bagi memberi peluang kepada pemohon yang lain untuk mendapat manfaat melalui Skim ini dimana program ini dapat membantu ke arah menstabilkan dan mengukuhkan kedudukan kewangan mereka melalui pemulangan 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun.

    Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku  pada  masa  akan  datang.  Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit dengan pemohon memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

    Selain itu, penyewa yang telah memenuhi kriteria dan syarat kelayakan selepas tempoh sewaan ditetapkan dibawah Skim Smart Sewa, Kerajaan Negeri bersedia menawarkan Skim Smart Sewa To Ownership (2STAY). Melalui Pakej Selangorku Prihatin Fasa 3 / Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 pada Dewan Negeri pada 13 Julai 2020, Y.A.B. Dato’ Menteri Besar telah memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) Pasca Covid. Jangkaan akan terdapat penambahan sebanyak 60,000 unit dalam tempoh 3 tahun sehingga tahun 2022.

     

    Insentif ini telah mendapat sambutan yang menggalakan daripada pemain industri dimana sehingga September 2021, sebanyak 50 projek melibatkan sebanyak 84,292 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman MBI telah diluluskan oleh MMKN. Nyata program ini, ianya telah mengatasi sasaran kerajaan negeri untuk membina 60,000 unit rumah dalam tempoh tiga tahun sehingga tahun 2023.

    Daripada jumlah tersebut, Kerajaan Negeri akan memperoleh 3,062 unit rumah kontra yang mana akan digunakan untuk pelaksanaan program sewa beli dibawah Skim 2STAY yang bakal dilaksanakan kelak. Insentif ini bagi membantu golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan serta sukar untuk mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah pertama dengan harga jualan tidak melebihi RM200,000 seunit berbanding harga jualan sebenar.

Lampiran

Tiada Lampiran.