Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

12) INDEKS PENCEMARAN UDARA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah bacaan indeks pencemaran udara yang sihat?

    Indeks pencemaran udara (IPU) merupakan suatu kaedah umum dan termudah untuk menghuraikan status kualiti udara. Semakin besar nilai IPU menunjukkan semakin tinggi tahap pencemaran udara. IPU adalah dikira berdasarkan kepekatan enam (6) bahan pencemar utama iaitu ozon di permukaan bumi (O3), karbon monoksida (CO), nitrogen dioksida (NO2), sulfur dioksida (SO2), habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikron (PM10) dan habuk halus bersaiz kurang dari 2.5 mikron (PM2.5). IPU ini dikategorikan sebagai baik, sederhana, tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya seperti berikut:

     

    Nilai IPU Status
    0 – 50 Baik
    51 – 100 Sederhana
    101 – 200 Tidak Sihat
    201 – 300 Sangat Tidak Sihat
    Melebihi 300 Berbahaya
  2. Apakah langkah pihak kerajaan dan Jabatan Alam Sekitar bagi mengatasi masalah indeks pencemaran udara yang tinggi di Pelabuhan Klang?

    Bacaan IPU ditentukan oleh kepekatan partikel-partikel  halus yang merupakan pencemar dominan pada kebanyakan masa. Kepekatan partikel halus boleh berpunca  daripada aktiviti pembakaran terbuka serta punca industri. Peningkatan bacaan IPU di Pelabuhan Klang, antara lain berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka di kawasan Revolusi Pertanian Johan Setia, Klang.  Bagi mengatasi masalah yang berpunca dari pembakaran terbuka di kawasan tersebut, JAS telah mengambil langkah-langkah seperti berikut:

    1. Menjalankan pemantauan dan rondaan darat secara harian ke kawasan yang berisiko berlakunya pembakaran terbuka termasuk rondaan pada cuti hujung minggu. Selain itu juga, pengawasan dan pemantauan juga turut dijalankan melalui penggunaan teknologi dron haba bagi mengesan pembakaran pada waktu malam.
    2. Jabatan Alam Sekitar telah mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Bagi tahun 2021, JAS telah mengeluarkan sebanyak 5 kompaun, penyediaan sebanyak 6 Kertas Siasatan dan melakukan 3 tangkapan bagi kesalahan pembakaran terbuka di Johan Setia, Klang
    3. JAS juga turut bekerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri seperti Pejabat Daerah dan Tanah Klang serta Majlis Perbandaran Klang bagi memantau dan menjalankan penguatkuasaan ke atas kawasan pertanian Johan Setia, Klang
    4. Menyelaras pembangunan dan naiktaraf infrastruktur di kawasan pertanian Johan Setia seperti pembinaan telaga air tanah, piezometer  dan sekatan check dam,  sebagai langkah pencegahan pembakaran terbuka. Sehingga kini sebanyak 2 unit telaga air tanah, 10 unit pizometer dan 4 check dam telah dibina di kawasan Johan Setia, Klang
    5. Selain daripada tindakan penguatkuasaan dan pembangunan infrastruktur, Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar khususnya kepada orang awam, pihak industri dan para petani bagi memberikan kefahaman mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka.

    Seterusnya, bagi mengatasi kepekatan partikel yang berpunca dari aktiviti perindustrian, tindakan seperti berikut telah diambil:

    1. Jabatan Alam Sekitar juga melaksanakan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas kilang-kilang di kawasan Pelabuhan Klang yang melepaskan pencemar udara melebihi had yang dibenarkan dengan mengambil tindakan berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Di samping itu juga, kilang-kilang ini yang didapati melepaskan pencemar udara ini juga telah diarah untuk memasang sistem kawalan Pencemaran Udara seperti Scrubber (Penggahar), Bag Filter (Penapis Beg) dan pemasangan sistem kawalan udara yang lain mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

    7. Pemantauan prestasi ke atas sistem kawalan pencemaran udara berkenaan juga dilaksanakan oleh Orang Yang berwibawa (OYB) bagi mengelakkan berlakunya pelepasan bahan pencemar ke udara yang melebihi had dibenarkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.