Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

197) BANTUAN BAGI ANAK SENI DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Umum mengetahui anak seni ataupun penggiat seni adalah yang banyak terkesan akibat pandemik COVID-19. Penggiat seni bukan bermaksud hanya pelakon mahupun penyanyi tetapi merangkumi kru-kru produksi yang tidak mempunyai pendapatan akibat tidak boleh bekerja. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor khususnya dalam membantu penggiat-penggiat seni di Negeri Selangor?

    Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac, kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan pelancong antarabangsa sejak 18 Mac 2020.

    Kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, di mana negara-negara ASEAN lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan. Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia juga mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing.

    Malaysia telah mencatatkan ketibaan seramai 4,252,997 pelancong antarabangsa direkodkan pada separuh tahun pertama tahun 2020 iaitu penurunan sebanyak 68.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Perkara ini ditafsirkan melalui perbelanjaan pelancong bagi separuh tahun pertama 2020 merekodkan hanya RM12.5 bilion, iaitu penurunan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion pada tempoh yang sama pada 2019.

    Justeru, Kerajaan Malaysia melalui MOTAC telah memberi fokus kepada kempen dan pemasaran pelancongan domestik yang dilihat satu-satunya kaedah dan cara yang boleh dilaksanakan pada masa ini.

    Walau bagaimanapun, tumpuan Kerajaan Persekutuan yang terlalu fokus kepada aktiviti promosi dan pembangunan pelancongan seperti penggiat dan agen pelancongan serba sedikit mengakibatkan penggiat seni dan budaya di seluruh negara tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.

    Seperti yang kita semua ketahui, kebanyakan daripada penggiat seni dan budaya bergantung harap kepada jemputan-jemputan persembahan sama ada daripada jabatan/ agensi kerajaan, korporat ataupun orang perseorangan di majlis-majlis keraian termasuklah kenduri perkahwinan. Bahkan, sememangnya walau sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sekalipun, aktiviti seni dan budaya amat jarang mendapat tempat memandangkan perkembangan dan lambakan artis dan kumpulan muzik kontemporari dan moden telah mendominasi pasaran yang lebih terkini.

    Justeru, Kerajaan Negeri telah menganjurkan program Rentak Selangor Live! yang telah bersiaran pada 28 Februari 2021 di platform-platform digital seperti TV Selangor, laman Facebook Rentak Selangor dan saluran Youtube Rentak Selangor yang turut bekerjasama dengan Warisan Sound Studio. Program yang bersiaran selama lebih satu jam ini telah mencatatkan lebih daripada 64 ribu tontonan serta mendapat hebahan dan liputan meluas di pelbagai saluran media di dalam dan luar negara.

    Melalui program yang juga pertama kali diadakan seumpamanya di negara ini telah memaparkan pelbagai persembahan seni dan budaya dari pelbagai etnik secara dalam talian. ini sebanyak 12 kumpulan seni tradisional dan kebudayaan dari pelbagai etnik telah membuat persembahan dan seterusnya mendapat liputan yang sangat meluas. Antara kumpulan yang telah ditonjolkan adalah Cempuling Riadah Kg Kanchong Darat, Cempuling Tunas Sinar Baru Sg Lang Tengah,  Gendang Tor Tor Gombak,  Tarian Bahbola Muzium Orang Asli Gombak,  Kumpulan Muzik Artis Budaya MKNS, Kumpulan Tarian Artis Budaya MKNS,  Kumpulan Tarian Singa Loke Petaling Jaya, Kumpulan Tarian Era Dance Klang, Kumpulan Angklong Seni Warisan, Kumpulan Band Recycle Hulu Selangor, Kumpulan Busker Bob Sentuhan, Kumpulan Busker Ape Ape Roger,  dan artis jemputan Wak Mustar.

    Program ini mempromosikan kumpulan-kumpulan kesenian dan kebudayan kepada orang ramai dengan menonjolkan kemahiran dan keunikan tersendiri. Dengan cara ini, Kerajaan Negeri berharap kumpulan-kumpulan ini akan kembali menarik perhatian orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan mereka kelak, bukan sahaja bergantung kepada majlis-majlis rasmi kerajaan.

    Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan semenjak bulan Mac 2020, kita dapat saksikan kumpulan penggiat ini paling terkesan kerana halangan mengadakan majlis dan perhimpunan. Dengan penganjuran Rentak Selangor ini, Kerajaan Negeri dapat memberikan mereka peluang untuk terus berkarya dan seterusnya menerima manfaat langsung dan tidak langsung daripada Kerajaan Negeri.

    Hasil sokongan Kerajaan Negeri melalui program seperti ini telah memberi manfaat kepada lebih 150 orang artis budaya serta lebih 500 orang pekerja di belakang tabir dari pelbagai kemahiran seperti pengarahan persembahan, make-up artis, media sosial, pekerja studio rakaman, jurugambar, pemandu, pembekal perkhidmatan khemah, penyedia makanan dan sebagainya. Impak kepada industri sisi kebudayaan juga terus membantu secara tidak langsung kepada industri pelancongan dan seterusnya menjana ekonomi negeri yang tidak ketara dalam bentuk sosial dan material.

    Sedikit pencerahan, secara purata Kerajaan Negeri telah memberi manfaat sebanyak RM150 ribu kepada hampir 150 orang penggiat seni di dalam industri yang terdiri daripada penyedia perkhidmatan seni dan hiburan serta penari dan pemuzik dari tradisional hinggalah ke moden seperti kumpulan buskers.

    Walaupun jumlah ini tidak begitu banyak namun hasilnya selain daripada wang, mereka juga mendapat manfaat dalam bentuk publisiti dan pemasaran hasil kerja dan bakat mereka. Maka kita harap dengan publisiti yang diberikan, peluang untuk mereka membuat lebih banyak persembahan akan bertambah lagi selepas ini.

    Selain itu juga, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah menganjurkan program Semarak Seni dan Budaya atau SENADA yang bersiaran secara langsung pada setiap hari Rabu minggu ke-2 dan ke-4 dengan membawakan pelbagai isu dan persembahan warisan tradisional terutama berkaitan kebudayaan dan adat melayu. Program SENADA ini turut mempersembahkan dan memperkenalkan kepelbagaian seni warisan dan kebudayaan kepada khalayak ramai yang sekali gus meningkatkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kemampuan seni dan budaya negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri juga melihat, keperluan menjaga kebajikan semua penggiat seni merentasi pelbagai latar belakang dan genre. Terkini, Kerajaan Negeri juga telah bekerjasama dengan Kelab Penghibur Jalanan Malaysia untuk menganjurkan program Kita Buskers Selangor yang bertujuan untuk memberi sokongan moral serta kewangan melalui peluang membuat persembahan di lokasi-lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan lokasi-lokasi yang bersesuaian di sekitar negeri Selangor.

    Melalui program ini, seramai lebih 2000 orang seniman jalanan yang berdaftar di negeri Selangor telah mendapat manfaat seterusnya membantu mereka meringankan bebanan kewangan serta emosi akibat terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.