Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

164) ELAUN DAN BANTUAN JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Adhif Syan Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan semua bentuk dan jenis elaun dan bantuan yang dibekalkan oleh JKM.

    Skim-skim bantuan kewangan JKM yang disediakan kepada golongan yang memerlukan di bawah Bantuan Kewangan JKM adalah seperti berikut:

    Skim Bantuan Kewangan Persekutuan

    Bantuan kewangan bulanan

    1. Bantuan Kanak-kanak dengan kadar RM150 hingga maksimum RM1,000 sebulan. RM200 seorang bagi anak yang berumur 6 tahun dan ke bawah dan RM150 seorang bagi anak yang berumur 7 hingga 18 tahun dipertimbangkan kepada keluarga miskin atau ibu/ bapa tunggal yang menjaga anak-anak mereka.

     

    1. Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) dengan kadar RM450 sebulan dipertimbangkan kepada Orang Kurang Upaya yang sedang bekerja yang pendapatannya kurang daripada RM1,500 sebulan sebagai insentif supaya mereka terus bekerja.

     

    1. Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Bekerja (BTB) dengan kadar RM300 sebulan dipertimbangkan kepada Orang Kurang Upaya yang tidak berupaya bekerja kerana kecacatan mereka yang teruk dan tidak berupaya bekerja.

     

    1. Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dengan kadar RM500 seorang sebulan dipertimbangkan kepada penjaga Orang Kurang Upaya Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan keluarga penjaga serta memastikan penjagaan yang berkualiti.

     

    1. Bantuan Warga Emas (BWE) dengan kadar RM500 sebulan dipertimbangkan kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan untuk meneruskan kehidupan harian.

     

    1. Bantuan Anak Pelihara dengan kadar RM250 sebulan hingga maksimum RM500 sebulan sekeluarga bagi meringankan tanggungan keluarga pelihara yang sanggup menjaga anak-anak pelihara seperti anak sendiri.

     

    Bantuan kewangan sekaligus adalah seperti berikut:

    1. Bantuan Geran Pelancaran dengan kadar RM2,700 sekaligus dipertimbangkan kepada kumpulan sasar JKM bagi memulakan projek atau pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan ke arah berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan bulanan selama-lamanya.

     

    1. Bantuan Alat Tiruan/ Sokongan dengan kadar sebenar alat tiruan/ sokongan tersebut bagi membantu kumpulan sasar JKM yang tidak berkemampuan untuk membeli alat tiruan atau alat sokongan seperti kaki palsu, kerusi roda, alat pendengaran dan lain-lain peralatan yang bersesuaian dan disyorkan oleh Pegawai Perubatan.

     

    Skim Bantuan Kewangan Negeri

    1. Bantuan Am Negeri dengan tiga kadar iaitu RM250, RM300 atau RM350 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan kumpulan sasar lain yang memerlukan.

     

    1. Bantuan Latihan Perantis dengan kadar RM250 sebulan dipertimbangkan kepada semua kumpulan sasar JKM yang bersedia mengikuti latihan kemahiran atau penempatan kerja bagi menambahkan kemahiran dalam sesuatu bidang.

     

    1. Bantuan Pemulihan Bencana Negeri dengan kadar maksimum RM5,000 sebulan kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan kes-kes bancana alam seperti ribut dan kebakaran.
  2. Senaraikan senarai penerima bantuan tersebut di Daerah Sepang dan Mukim Tanjung 12(2) Kuala Langat serta butiran-butiran yang berkaitan.

    Bilangan penerima bantuan tersebut di Daerah Sepang dan Mukim Tanjung 12(2) adalah seperti di Jadual 1:

  3. Adakah permohonan baru bantuan JKM di Daerah Sepang dan Kuala Langat meningkat semenjak PKP dilaksanakan pada Mac 2020 sehingga Jun 2021?

    Permohonan bantuan JKM di Daerah Sepang dan Kuala Langat didapati meningkat semenjak PKP dilaksanakan. Bagi Daerah Sepang kadar kenaikan adalah sebanyak 128% iaitu 1929 kes berbanding 847 permohonan baru manakala bagi Kuala Langat kadar kenaikan adalah sebanyak 28% iaitu 1002 kes berbanding 780 kes.

Lampiran

Tiada Lampiran.