Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
162) PENINGKATAN KES PENDERAAN DAN MENTAL
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa Tetap Kesihatan bagi menangani isu peingkatan kes penderaan dan mental di Selangor?
Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan dari Sijangkang (N51) No.211. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan mental terutamanya di kala pandemik COVID-19 yang semakin mencatatkan kadar kes harian yang tinggi. Saban hari kita melihat kes-kes yang disebabkan oleh masalah kesihatan mental. Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah memperkenalkan satu inisiatif bagi penjagaan kesihatan mental iaitu Program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Program SEHAT ini adalah satu program yang menyeluruh merangkumi promosi, kesedaran, saringan awal dan intervensi awal dengan kerjasama pasukan penyelidik dari agensi seperti berikut:
- Universiti Islam Antarabangsa (UIA);
- Universiti Sains Malaysia (USM);
- Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); dan
- NGO- Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA)
Terdapat 4 objektif utama yang ingin dicapai melalui inisiatif SEHAT iaitu:
- Meningkatkan kesedaran dan literasi rakyat Negeri Selangor tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental;
- Mengurangkan stigma masyarakat terhadap isu-isu kesihatan mental melalui program-program promosi;
- Menyediakan platform bagi rakyat Negeri Selangor melakukan saringan awal kesihatan mental melalui aplikasi SELANGKAH; dan
- Menyediakan intervensi awal kepada rakyat Selangor secara atas talian melalui talian sokongan psikososial, forum sokongan rakan sebaya (peer) dan video psychoeducation.
Sejak Jun 2021, kita telah memulakan program promosi dan kesedaran, antaranya melalui siri bicara kesihatan mental secara atas talian yang membincangkan tajuk-tajuk penting melibatkan panelis dari pelbagai latarbelakang seperti pakar bidang, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), aktivis sosial dan sebagainya.
Melalui fungsi SEHAT juga membolehkan para pengguna mengetahui tahap kesihatan mental mereka dengan melakukan ujian saringan awal secara kendiri. Setelah mendapat keputusan, para pengguna akan diberikan akses intervensi awal SEHAT secara percuma iaitu:
- 30 video pendidikan psikologi di aplikasi SELangkah yang merangkumi tajuk-tajuk penting berkenaan kesihatan mental.
- Forum SEHAT iaitu forum sokongan peer yang membolehkan para pengguna bertanya pandangan pengendali forum dan berbincang bersama para pengguna lain di aplikasi Whatsdoc.
- Talian SEHAT iaitu talian sokongan psikososial yang disediakan bagi pengguna mendapatkan nasihat dan kaunseling daripada mana-mana 31 kaunselor bertauliah menerusi aplikasi Whatsdoc.
Bagi memudahkan warga Selangor mendapatkan nasihat kaunselor, talian telefon sokongan psikososial akan diwujudkan dan tersedia melalui aplikasi WhatsDoc. Para pengguna akan berpeluang untuk mendapatkan nasihat kaunselor bertauliah secara percuma dan sesi peer support bersama badan bukan kerajaan (NGO) didalam aplikasi Whatsdoc. Melalui inisiatif ini, dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental secara holistik yang memberi kesan kepada rakyat Selangor khususnya berikutan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara.
-
Berapa banyak kes yang telah berjaya ditangani dan berjaya sehingga ke peringkat memberi pembelaan kepada mangsa? Nyatakan kes-kes tersebut.
Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor, bilangan kes yang telah berjaya ditangani sehingga mendapat pembelaan melalui Perintah Perlindungan Kecemasan/ Emergency Protection Order (EPO) adalah sebanyak 5 kes, yang mendapat Perintah Perlindungan Interim/ Interim Protection Order (IPO) adalah sebanyak 43 kes dan yang mendapat Perintah Perlindungan/ Protection Order (PO) adalah sebanyak 10 kes. Manakala kes sehingga peringkat dibawa ke mahkamah bagi Januari hingga Jun 2021 adalah sebanyak 43 kes. Daerah Hulu Langat mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 20 kes, hampir 47% dari jumlah keseluruhan kes di Negeri Selangor.
Jumlah kes yang mendapat Perintah Perlindungan Kecemasan/ Emergency Protection Order (EPO), Perintah Perlindungan Interim/ Interim Protection Order (IPO), Perintah Perlindungan/ Protection Order (PO) dan Mahkamah mengikut daerah adalah seperti berikut:-
Kes penderaan melibatkan Akta Keganasan Rumah tangga 1994 di bawah Akta 521 yang direkodkan oleh JKM Negeri Selangor dari Januari hingga Jun 2021 adalah sejumlah 197 kes iaitu melibatkan 11 lelaki dan 186 wanita. Kes melibatkan penderaan secara psikolgi dan emosi atau mental adalah merupakan kes yang ketiga tertinggi yang direkodkan iaitu sejumlah 39 kes. Manakala kes tertinggi yang direkodkan dari Januari hingga Jun 2021 adalah kes menyebabkan kecederaan atau mencederakan mangsa secara fizikal.
Jenis kes yang melibatkan penderaan di bawah Akta Keganasan Rumah tangga yang direkodkan dari Januari hingga Jun adalah seperti berikut: